Populariti Adenan melonjak sehingga 84 peratus


LIMBANG: Populariti Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem  melonjak sebanyak 84 peratus iaitu meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas berdasar kajian pihak Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tahun lepas populariti Adenan mencapai 74 peratus dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Peningkatan ini menunjukkan Adenan begitu disayangi rakyat Sarawak. Kita mahu rakyat terus menterjemah populariti itu melalui undian dan sokongan berterusan khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN),” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Intai, Menuang semalam.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan  Masir Kujat, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Tuai Rumah Intai  dan beberapa kenamaan yang lain.

Zahid turut menjangka undi popular BN akan meningkat kepada 55 peratus hingga 60 peratus pada PRN ini.

Beliau juga mahu rakyat mempunyai daya tahan bersama Adenan meskipun pembangkang dari luar datang menabur pelbagai fitnah.

“Jangan terima serangan luar kerana mahu merosakkan pemikiran kita. Kita beruntung mempunyai pemimpin seperti Adenan yang begitu mengambil berat kebajikan rakyatnya,” ujarnya lagi.

Zahid juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan lagi pembangkang tidak akan berjaya mempengaruhi masyarakat Sarawak dengan isu remeh sebagai taktik mendapatkan sokongan pengundi.

“Jangkaan saya tidak ada isu besar dapat dibawa oleh pakatan pembangkang selain isu remeh berulang kali dimainkan,” katanya.

Jelasnya, mereka masih gagal mempengaruhi rakyat apatah lagi kepimpinan BN melalui Adenan yang semakin mantap dengan usaha berterusan membawa pembangunan ke negeri ini.

“Saya amat yakin dengan kepimpinan Adenan dibantu oleh kabinet menteri lain. Apa dibawa beliau bukan sekadar janji tetapi berjaya ditunai demi kepentingan rakyat Sarawak,” ujarnya.

Menurutnya Adenan juga berjaya membawa isu-isu Sarawak dengan baik kepada kerajaan persekutuan untuk didengar.

Sementara itu, Zahid turut memberitahu beliau sudah mengadakan lawatan kali ke-16 ke Sarawak.

Jelasnya sejak Januari hingga Mac tahun ini beliau sudah 10 kali turun bertandang ke Bumi Kenyalang termasuk Limbang dan Lawas.

Katanya sebagai pemimpin nombor dua negara, beliau akan terus membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menterjemahkan akujanji untuk terus memperjuangkan keperluan rakyat.

Pada majlis itu beliau turut meluluskan pembinaan pagar parit di kawasan Rumah Intai selain memperuntukkan RM46,000 untuk menyiapkan rumah panjang berkenaan. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget