Hubungan baik dengan Najib demi rakyat Sarawak


MUKAH: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin dengan keperluan dan nasib rakyat di negeri ini.

Malah kata beliau, Najib antara enam Perdana Menteri kerap berkunjung ke negeri ini hampir 50 kali.

“Beliau datang ke sini tidak dengan tangan kosong kerana hampir 50 kali datang ke sini, beliau telah memberi sebanyak RM3 billion kepada kita.

“Ini tidak termasuk pembinaan lebuh raya Pan Borneo yang menelan kos sebanyak RM16 billion,” katanya semasa berucap merasmikan Program Sejiwa Senada Bahagian Mukah 2016 di Dataran Pehin Setia Raja di sini, semalam.

Hadir sama ialah isterinya Datin Patinggi Dato Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pelancongan dan Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Ghani serta menteri-menteri kabinet dan para kenamaan yang lain.

Hampir 40,000 hadirin hadir pada program tersebut padat dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran, hiburan dan jualan.

Beliau berkata, pembangkang sering mengkritiknya kerana menjalin baik hubungan dengan Najib yang dikaitkan pelbagai pihak dengan penyalahgunaan kuasa, skandal rasuah dan sebagainya.

“Kenapa saya berkawan baik serta menyokong kepimpinan Najib kerana beliau amat prihatin dengan rakyat Sarawak. Apa saya minta beliau tunaikan atau sekurang-kurangnya mempertimbangkan.

“Contohnya, beliau bersetuju meluluskan pembinaan lebuh raya Pan Borneo yang menelan kos sungguh besar meskipun keadaan ekonomi sekarang tidak menentu,” katanya lagi.

Beliau memberi jaminan bahawa hubungan baik di antara kerajaan negeri dan pusat sangat diperlukan bagi melancarkan lagi dasar pembangunan ke negeri ini.

“Hubungan sedemikian amat diperlu untuk mencari duit atau dana lebih kepada negeri ini melalui hubungan baik serta kerjasama Najib.

Apa guna menjadi Ketua Menteri jika saya tidak dapat berbuat apa-apa untuk rakyat dan negeri Sarawak,” tegasnya lagi.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget