BINTULU: Sokongan serta kerjasama erat semua parti komponen Barisan Nasional (BN) diyakini dapat membantu Parti Rakyat Sarawak (PRS) memenangi semua kerusi ditandingi khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu, Samalaju.
Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu Belaun berkata DUN Samalaju majoriti pengundinya adalah Dayak iaitu 61 peratus dan PRS merupakan parti diyakini mampu menang di kerusi baharu itu sekiranya diberi peluang.
“Kerusi Samalaju telah diagihkan kepada PRS dan diharap tiada kekeliruan di kalangan penduduk kawasan itu mengenai parti mana bakal bertanding di DUN Samalaju pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sehati Sejiwa Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun di Rumah Jaraw Sumok Sungai Plan di sini, malam Sabtu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pengumuman mengenai parti komponen akan bertanding di Samalaju akan diketahui dalam masa terdekat dan jelas menunjukkan PRS merupakan antara parti bakal ditempatkan di DUN Samalaju.
“Saya minta semua ketua masyarakat di kawasan Samalaju memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada PRS bagi membolehkan parti komponen BN ini menang dengan majoriti besar pada PRN akan datang,” jelasnya.
Entulu berharap semua pihak menghormati sebarang keputusan dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengenai calon dan parti komponen BN bertanding di DUN Samalaju.
Program itu dihadiri lebih 2,000 masyarakat sekitar Samalaju termasuk bandar Bintulu, Kidurong dan Suai.
Turut dibuka 20 kaunter pelbagai agensi dan jabatan bagi membantu lepasan sekolah dan belia menyambung semula pelajaran, pekerjaan dan sebagainya.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Majang Renggi.
- Borneo Post Online
Post a Comment