Entulu tidak berminat bertanding di DUN Tamin


SELANGAU: Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Entulu Belaun menegaskan bahawa beliau tidak berminat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Entulu memaklumkan perkara itu bagi menjelaskan kenyataan menerusi akhbar tempatan menyatakan ada pihak di kawasan DUN Tamin berminat dengan Dr Ali Puji dan beliau untuk dicalonkan pada PRN kali ini.
“Saya tidak berminat dan tidak mahu bertanding di kerusi DUN Tamin pada PRN akan datang, sebab saya sudah menjadi Ahli Parlimen Selangau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Lebih elok dan senang saya bekerja kalau ada orang yang menjadi ADUN membantu saya di peringkat akar umbi di sini. Untuk apa saya hendak bertanding?” katanya ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Tapak Rumah Ali Galang, Batu 42, Jalan Sibu-Bintulu, Selangau, kelmarin. Rumah Ali mempunyai 28 pintu.
Menurut Entulu, terdapat pihak mengatakan sebab keadaan rumit wujud di DUN Tamin menjadi punca pengundi di kawasan itu teragak-agak hendak menyokong calon yang diumumkan.
“Saya berharap kenyataan ini jelas yang saya tidak berminat dan tidak akan bertanding di kerusi DUN Tamin pada PRN akan datang,” katanya.
DUN Tamin menyaksikan muka baharu iaitu Christopher Gira Sambang dipilih sebagai calon bagi menggantikan ADUN Tamin, Datuk Joseph Mauh Ikeh yang menyatakan hasratnya bersara setelah selama 25 tahun dalam arena politik.
Entulu turut menyangkal tuduhan pihak mendakwa beliau tidak membawa kemajuan atau pembangunan kepada penduduk di Tamin.
“Saya tidak menyenaraikan pencapaian dari segi infrastruktur yang telah saya lakukan di Tamin, kerana nanti menimbulkan masalah dari segi siapa yang berjaya memohon sesuatu projek dan dibandingkan dengan kejayaan dicapai oleh ADUN.
“Kalau dibuat perbandingan seperti itu bukan saya takut, tetapi saya rasa akan menimbulkan suasana kurang sihat kerana rakyat lebih tahu siapa yang betul-betul berkesan menjadi wakil rakyat atau tidak,” ujarnya.
Namun, kalau pihak berkempen sekarang masih kekal membuat tuduhan beliau tidak membawa pembangunan beliau boleh menyenaraikan pembangunan yang telah dilakukannya.
Entulu menjelaskan, setahun atau dua tahun sebelum PRN misalnya, beliau ‘menenggelamkan’ diri untuk mengangkat imej dan juga nama orang hendak bertanding pada pilihan raya.
“Selepas pilihan raya, saya timbul balik dan menjadi ADUN yang kurang bergerak. Macam itulah sebab kita parti sama senang diuruskan.
“Kalau parti tidak sama kemungkinan susah sedikit melakukan pengurusan macam itu.
“Kita hendak siapa yang bakal menjadi calon adalah watak utama dalam masa setahun atau dua tahun sebelum pilihan raya.
“Itulah yang kita buat selama ini dan sebab itu saya kurang timbul. Tetapi, semasa pilihan raya memang kita bekerja keras,” jelasnya.
Mengulas mengenai pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMS) 2015, Entulu mengakui ia agak lambat sedikit dilaksanakan.
“Ada projek PMR 2015 sedang dilaksanakan bulan ini dan tiga bulan dari sekarang semuanya akan siap. Kita akan mula melaksanakan projek PMR 2016.
“Dua tiga hari Mac ini, senarai projek PMR untuk tahun ini akan siap dan dimajukan kepada Pejabat Pembangunan Negeri untuk diluluskan dan diuruskan kertas kerjanya,” kata beliau.
Entulu turut mengumumkan peruntukan geran projek kecil luar bandar (MRP) sejumlah RM23,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Senabong dan RM14,000 kepada JKKK Rumah Ali.
Hadir sama Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Adriana Chumang Nyambong, Penghulu Balai Gara dan Penghulu Michael Jelani. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget