PRS tidak bantah calon terus BN bertanding PRN


KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap cadangan meletak calon terus Barisan Nasional (BN) bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi menyelesai masalah perebutan kerusi.

Menurut Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing, mereka dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti diadakan semalam sebulat suara menyokong cadangan dikemuka Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi menyelesaikan pertikaian kerusi dalam PRN tidak lama lagi.

“Kita bersetuju sebulat suara terdapat pertikaian kawasan antara empat parti politik, Ketua Menteri mencadangkan meletakkan calon terus BN, yang tidak terikat dengan parti politik lain selain empat parti komponen BN negeri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Selain PRS, parti komponen BN Negeri adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Masing juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh berkata, tindakan itu bagi menyelesaikan pertikaian kerusi khasnya antara SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) termasuk SPDP dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Menurutnya lagi, parti turut bersetuju agar calon terus BN menang dalam PRN kelak memohon masuk ke mana-mana parti komponen BN Negeri.

Beliau turut menjadikan kerusi Bawang Assan sebagai contoh, penyandangnya juga Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh perlu meletak jawatan sebagai Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) bagi menjadikan beliau layak bertanding di kerusi itu sebagai calon terus BN.

“Untuk menjadikan beliau (Wong) layak sebagai calon terus BN, beliau perlu meletak jawatan sebagai presiden UPP. Jika menang, beliau boleh memohon masuk ke mana-mana komponen parti BN Negeri,” katanya.

Masing turut melahirkan harapan agar PBB akan tetap berpegang kepada hasrat untuk tidak membentuk kerajaan majoriti mudah selepas pilihan raya sekali gus memastikan parti komponen kekal relevan.

Jelasnya, itu bermakna PBB tidak boleh menuntut lebih 41 kerusi daripada jumlah keseluruhan 82 kerusi negeri atau parti komponen akan menjadi tidak relevan dalam kerajaan.

“Mereka sebelum ini telah menyatakan tidak akan membentuk kerajaan sendiri dengan majoriti mudah dan kita sekadar mengulanginya semula.

“Saya rasa kenyataan itu amat menyakinkan dan terpuji dalam mengekal kerajaan campuran di mana pembahagian kuasa sangat penting,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pemuda PRS berjaya meraih RM12,000 bagi diserahkan kepada bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek bagi meringankan beban masalah kewangan dihadapi beliau.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget