Bangunan Dewan Malaysia di Perth, Australia dikejutkan dengan contengan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang bermuka ‘badut’.
Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan contengan berkenaan ditampal pada pintu dan dinding luar bangunan tersebut.
Semburan cat merah juga digunakan untuk membuat tanda ‘X’ pada karikatur itu.
Contengan itu turut dimuat naikkan dalam talian oleh aktivis artis Fahmi Reza, yang sedang disiasat oleh pihak polis berhubung perkara lukisannya.
"Pemberontakan kini merebak ke Australia.
“Aku jumpa gambar ini di Twitter yang menunjukkan bangunan Malaysia Hall bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di Perth, Australia telah digraffiti dengan wajah muka badut Najib Razak sebagai tanda protes," kata Fahmi dalam Facebook.
Menurut aktivis itu, ramai akan menganggap tindakan berkenaan sebagai satu bentuk vandalisme dan tidak menyenanginya.
“Sangat mudah untuk kita melabel anak-anak muda yang bertindak menyembur political graffiti ini sebagai "vandals" dan "troublemakers", tapi pernahkan kita cuba fahami kenapa mereka mengambil tindakan sedemikian rupa untuk meluahkan ketidakpuasan hati mereka?
“Bila suara-suara protes melalui "saluran-saluran yang betul" tidak didengari, malah disekat, bila warganya yang berani bersuara melalui saluran-saluran ini ditindas dan dikenakan tindakan oleh penguasa yang melindungi koruptor, maka anak-anak muda akan mencipta saluran-saluran mereka sendiri untuk menyampaikan mesej mereka kepada penguasa,” katanya.
-Malaysiakini
Post a Comment