Pemimpin muda BN terus diiktiraf


KUCHING: Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak menghargai pengumuman seorang lagi calon baharu Pemuda oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).

Ketua Pergerakan Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pengumuman tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada pemimpin-pemimpin Pemuda BN oleh pucuk kepimpinan parti.

“Kami di peringkat Pemuda berterima kasih kepada Ketua Menteri di mana beliau pada program Armada Pemuda Juuuh Kamboh di Lundu semalam (Sabtu) telah mengumumkan seorang lagi calon baharu Pemuda.

“Menerusi pengumuman itu semalam, Pemuda sekarang ini mempunyai dua calon baharu daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan berharap lebih ramai calon baharu pemuda daripada BN akan ditampilkan,” katanya.

Fadillah yang juga ketua Pergerakan Pemuda PBB berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pemuda PBB diikuti Mesyuarat Pemuda BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini, semalam.

Dua calon baharu Pemuda PBB yang telah disahkan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden PBB ialah Fazrudin Abdul Rahman dan Gerald Rentap Jabu, masing-masing di kerusi Tupong dan Layar.

Manakala seorang lagi calon baharu Pemuda yang berkemungkinan dicalonkan pada PRN11 nanti ialah Allan Gramong bagi kerusi Machan menggantikan penyandang sedia Datuk Gramong Juna yang juga bapa kepada Allan.

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata jentera Pemuda BN dan PBB kini telah bersedia menghadapi pilihan raya dan akan memastikan kemenangan BN pada PRN11 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Bagi memperkukuhkan lagi jentera pilihan raya, Pemuda BN katanya akan mengadakan satu program Armada Pemuda BN bermula di Kuching pada 2 April dan akan berakhir di Lawas pada 6 April.

Program ini katanya, adalah untuk membawa jentera pemuda BN mendekati dan mendapatkan maklum balas daripada kalangan rakyat amnya pengundi mengenai permasalahan yang dihadapi mereka untuk tindakan sewajarnya.

Program itu akan diketuai oleh Fadillah sendiri yang akan menjelajah ke seluruh Sarawak mengikut zon tertentu menggunakan bas dari Kuching hingga Lawas yang akan dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 2 April ini.

Turut hadir pada mesyuarat dan sidang media itu semalam, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Liwan Lagang, Ketua Pemuda Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Robert Ayu dan Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Kai.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget