Dr Sim minat tanding DUN Batu Kawa atau Batu Kitang


KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Senator Datuk Dr Sim Kui Hian semalam mendedahkan beliau berminat bertanding sama ada di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa atau Batu Kitang pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pendedahan itu pertama kali dibuat oleh Dr Sim ketika berucap merasmikan majlis kemasyarakatan di MJC Batu Kawa dekat sini semalam.

“Saya akan bertanding sama ada di kerusi Batu Kawa dan Batu Kitang. Kedua-dua kerusi ini milik SUPP,” katanya ketika berucap pada majlis dianjurkan pergerakan Wanita SUPP.

Pada masa sama beliau meminta komuniti Batu Kawa agar tidak menyokong parti politik dari Semenanjung Malaysia kerana parti itu ‘tidak akan berjuang untuk autonomi Sarawak’.

“Ini kerana setiausaha agung mereka di Pulau Pinang, dan sudah tentu beliau akan mengutamakan kepentingan Pulau Pinang berbanding Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dr Sim menambah rakyat Sarawak, tanpa mengira kaum dan agama, mesti berdiri teguh menyokong perjuangan ketua menteri mendapatkan lebih banyak automoni untuk negeri ini.

Ujarnya, rakyat mesti menyokong calon Barisan Nasional (BN) dan mengundi mereka agar dapat mewakili komuniti Cina dalam DUN.

“Ia juga akan mengukuhkan lagi perwakilan Cina dalam DUN. Pilihan raya negeri tidak hanya mengenai kita tetapi generasi akan datang,” ujarnya.

Hadir sama ketua wanita SUPP Datin Jennifer William Chee Mione, Pengerusi SUPP Kota Sentosa yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, calon Padungan Peter Pay, dan Milton Foo calon Pending serta Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PPB) Batu Kawa, Datuk Ahmad Ibrahim. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget