Calon Pakan diumum pada masa sesuai: Adenan

Perebutan kerusi membabitkan SPDP, TERAS harus diselesai dengan pendekatan terbaik

PAKAN: Pengumuman bakal calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang diumumkan pada masa sesuai.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata ini kerana perebutan kerusi membabitkan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) harus diselesaikan dengan pendekatan terbaik.
Katanya, calon tersebut diumumkan sendiri oleh beliau kerana berdasarkan situasi masa kini penyelesaian kemelut di antara kedua-dua parti masih samar-samar.
“Kita harap kedua-dua parti itu mampu bertolak ansur sesama sendiri dengan apa juga keputusan bakal dibuat untuk kebaikan semua pihak khususnya masyarakat di peringkat akar umbi.
“Kepada masyarakat kita berharap mereka terus memberi sokongan padu kepada mana-mana calon bakal mewakili BN pada PRN nanti di kawasan ini demi masa depan lebih positif,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Pakan, semalam.
Hadir sama Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum, Setiausaha Agung SPDP Anthony Nogeh Gumbek, Ketua Wanita SPDP Sarawak Datuk Chiew Yien Chiew, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol, Residen Bahagian Sarikei Dr Anthony Valentine Laiseh serta lebih 4,000 penduduk.
Menurut Adenan, beliau yakin komponen BN mampu mendapat kemenangan besar pada PRN akan datang berdasarkan maklum balas peringkat akar umbi pada setiap kali penganjuran aktitivi dikelolakan jentera BN selama ini.
Katanya masyarakat harus bersedia memberi sokongan penuh kepada calon-calon menggunakan lambang BN pada PRN nanti walaupun kemungkinan calon itu bukan calon yang mereka harapkan.
“Perjuangan pada PRN kali ini amat penting untuk Sarawak bagi membuktikan kepada kerajaan pusat kita memainkan peranan amat penting dalam Kerajaan Malaysia.
“Kita mahu perjuangan mendapat kembali hak-hak kerajaan negeri telah lama terpinggir selama ini dipermudahkan dengan membuktikan bahawa BN masih kukuh di negeri ini.
“Itu harapan kita kerana daripada 50 perkara dan misi yang ingin kita capai bersama rakyat negeri ini hampir berjaya direalisasikan setakat ini,” jelasnya. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget