SUHAKAM fokus isu diskriminasi kaum


KUCHING: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) memberi keutamaan untuk menghapuskan isu diskriminasi kaum yang didapati masih menular dalam kalangan rakyat negara ini.
Pengerusi SUHAKAM Tan Sri Hasmy Agam menyatakan hasrat pihaknya itu ketika meraikan Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum 2016 yang disambut setiap tahun pada 21 Mac di sini.
“Baru-baru ini, satu kajian oleh Centre for a Better Tomorrow (CENBET) mendedahkan bahawa walaupun secara keseluruhan kajian menunjukkan responden menentang perkauman.
“Tetapi dapatan juga menyatakan bahawa satu daripada tiga rakyat Malaysia tanpa disedari atau diakui mempunyai perasaan perkauman,” katanya semalam.
Justeru, SUHAKAM berpendapat bahawa penyertaan negara dalam Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah penting bagi menjayakan usaha itu.
Kata Hasmy, idea ICERD telah diterima pakai dan dibuka untuk ditandatangani dan diratifikasi oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1965.
Pihak ICERD menyatakan komitmen negara-negara anggota untuk menghapusan diskriminasi kaum dan memupuk persefahaman di kalangan semua kaum.
Namun, konvensyen tersebut memerlukan negara-negara anggota untuk mengharamkan ucapan berunsur kebencian selaras dengan mukadimahnya yang menyatakan bahawa tiada justifikasi untuk diskriminasi kaum, secara teori atau amalan.
Menurut laporan terkini pihak SUHAKAM, sehingga Mac 2016, Malaysia masih belum menyertai konvensyen tersebut yang ketika ini telah mempunyai 88 tandatangan dan penyertaan 177 negara.
“Ini membuktikan bahawa Malaysia masih berhadapan dan terlalu jauh dalam usaha merealisasikan matlamat untuk mewujudkan keharmonian antara kaum dan agama yang telah diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
“Ya, ia memang tidak disangkal walaupun Perlembagaan Persekutuan boleh memberi perlindungan berkaitan diskriminasi kaum kepada rakyat.
“Tetapi sekiranya kerajaan menyertai ICERD dalam usaha memenuhi tanggungjawab negara bagi menghapuskan diskriminasi kaum dalam segala bentuk dan manifestasi, ia adalah lebih baik,” tegasnya.
Ia dijamin akan mewujudkan persefahaman dan menghormati maruah sesama manusia dan tindakan itu seterusnya dapat menterjemahkan komitmen kepada prinsip asas memartabatkan maruah setiap insan.
Sempena meraikan Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum bertemakan ‘Cabaran dan Pencapaian Deklarasi Durban dan Program Tindakan – Selepas 15 tahun’, SUHAKAM menyeru kerajaan memenuhi janjinya dalam menggubal Akta Jenayah Kebencian Kaum dan Agama.
Katanya ia bertujuan mengharamkan ucapan berunsur kebencian dan Akta Penyelarasan dan Keharmonian Nasional bertujuan melarang diskriminasi supaya, usaha untuk mempromosikan sikap toleransi dan saling memahami bahawa semua orang adalah sama dari segi maruah dan hak-hak mereka akan memberi sumbangan besar kepada masyarakat yang lebih harmoni dan tenteram serta bebas daripada prasangka, sikap tidak bertoleransi dan stereotaip, tambahnya. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget