Yakub Arbi calon DUN Balingian, ikrar perhebat agenda demi rakyat


MUKAH: Muka baharu diketengah oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan parti atas kepercayaan diberi kepadanya.

Namanya diumum Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam sebagai calon kerusi Balingian dan mengulas mengenainya, Yakub berikrar akan bekerja lebih keras demi rakyat di samping menjalankan tanggungjawab diamanah kepadanya.

“Seandainya saya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, saya akan sedaya-upaya menerus agenda pembangunan kepada rakyat. Saya berterima kasih atas pemilihan ini dan tidak akan menghampa kepecayaan parti dan Adenan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Sejiwa Senada Bahagian Mukah 2016 di Dataran Pehin Setia Raja di sini, semalam.

Program itu dirasmikan oleh Adenan juga Ketua Menteri dan dihadiri hampir 40,000 pengunjung.

Nama Yakub diumum Adenan pada program tersebut untuk mengisi kerusi berkenaan selepas penyandang sedia ada, Yussibnosh Balo dicalon bertanding di kerusi baharu DUN Tellian manakala, kerusi DUN Dalat mengekalkan penyandang lama, Datuk Fatimah Abdullah.

Yakub berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan tersebut.

Mengakui ia suatu tugas besar perlu dipikulnya, Yakub berkata, ia juga bukan masalah besar berdasarkan pengalamannya bersama PBB selama 31 tahun.

“Saya sudah biasa membantu PBB dalam pilihan raya-pilihan raya lepas,” katanya lagi.

Yakub, 56 merupakan lulusan jurusan ekonomi Universiti Deakin, Australia berasal dari Kampung Masjid, Balingian merupakan seorang usahawan di Bintulu sebelum menjadi Wali Kota Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) sejak dua tahun lalu.

Sementara itu, Yussibnosh anak jati Kampung Tellian Laut berpindah ke kerusi baharu Tellian turut berterima kasih kepada Adenan kerana kepercayaan diberi kepadanya untuk menjadi calon kawasan berkenaan.

Yussibnosh meminta pengundi BN di Balingian dan Tellian memberi sokongan kepada mereka bagi memenangi PRN kelak.

Katanya, kerusi baharu DUN Tellian tidak asing baginya kerana beliau berasal dari situ dan pengalamannya selama dua tahun sebagai ADUN Balingian menjadi platform kepadanya untuk bertugas di tempat baharu.

Yussibnosh menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat, Abdul Jalil Bujang dengan majoriti 6911 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balingian pada 28 Februari 2014 berikutan keputusan Tun Abdul Taib Mahmud melepaskan kerusi tersebut.

Sementara itu, Fatimah turut berikrar akan membantu Adenan dalam menjayakan transformasi luar bandar.

Beliau berterima kasih kepada Adenan atas kepercayaan yang diberi kepadanya untuk terus bertanding di Dalat.

Fatimah mengekalkan kerusi Dalat pada PRN Ke-10 lalu dengan majoriti 4,990 undi, selepas menewaskan calon PKR, Sylvester Ajah Subah (1,298 undi) dan calon Bebas, Salleh Mahali (257 undi).

Terdahulu, Adenan memberitahu bahawa Yakub, Yussibnosh dan Fatimah adalah ahli pasukannya.

“Mereka bertiga ahli pasukan saya dan akan bertanding pada PRN ini menggunakan lambang BN ataupun dacing. Justeru, saya mahu rakyat di ketiga-tiga kawasan tersebut memberi undi kepada mereka.

“Jika mahu saya terus dikekal menjadi Ketua Menteri untuk meneruskan dasar, agenda, cadangan serta keputusan dibuat saya, maka undilah mereka,” jelasnya lagi.

Beliau turut menasihatkan rakyat agar turun beramai-ramai mengundi pada PRN ini kelak.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget