Guan Eng gesa SPRM segerakan siasatan


PULAU PINANG  – Ketua Menteri, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadapnya berhubung kontroversi pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn, Jelutong di sini.

Sambil mengalu-alukan tindakan SPRM itu, Guan Eng berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh ke­rana yakin tiada unsur rasuah dalam pembelian banglo yang dikaitkan dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis itu.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa hairan dengan kenyataan SPRM negeri yang menyebut pernah menjalankan siasatan berkaitan penyewaan banglo tersebut pada 2009.

“Saya tidak pernah disoal siasat oleh SPRM berkaitan dengan penyewaan rumah saya sebanyak RM5,000 sebulan sebelum saya membelinya.

“Jelas sekali, SPRM telah menjalankan siasatan terhadap saya sekian lama tanpa pengetahuan saya dan hasilnya ialah tidak ada sebarang tindakan diambil ke atas saya,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di Taman Botani, di sini, Guan Eng berkata, beliau bersedia memberi penjelasan berhubung isu tersebut di Dewan Rakyat jika diberi peluang berbuat demikian.

Bagaimanapun, beliau mengakui perkara itu adalah sukar kerana isu berkenaan tiada kaitan dengan perihal kerajaan dan beliau juga bukan menteri yang bertanggungjawab.

“Isu ini tidak ada sangkut-paut dengan kerajaan, biasanya tidak mungkin diberikan peluang (untuk membuat penjelasan) kecuali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Itulah sebabnya lebih baik kita buat (pertemuan) dengan secepat mungkin. Shabuddin seharusnya tidak takut untuk hadir dan kami akan berikan layanan rasmi kepada beliau,” katanya.

- Utusan Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget