Pertahan rekod cemerlang BN: TPM


LIMBANG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memegang rekod perkhidmatan cemerlang di bawah pemerintahannya sejak negara mencapai kemerdekaan hingga hari ini perlu dipertahan demi kesinambungan pembangunan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat Malaysia amat bertuah kerana ditadbir kerajaan sama sejak 1957.
Jelasnya kerajaan BN Sabah, Sarawak dan pusat merupakan kombinasi cukup baik untuk terus berkhidmat kepada rakyat sekali gus mempertahan pemerintah sedia ada.

“Terdapat pihak berhasrat untuk meruntuhkan kerajaan BN kerana memerintah terlalu lama. Ini bukan soal tukar baju, kenderaan atau sebagainya tetapi ini kerana rekod perkhidmatan BN cemerlang.

“Bukan saja menumpukan kepada kemajuan fizikal, kerohanian malah menitik berat keperluan rakyat,” katanya pada Pesta ‘Badudun dan Lumba Kerbau 2016’ di Kampung Gadong semalam.

Turut sama ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Limbang Datu Maria Hasman, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar dan kenamaan lain.

Ahmad Zahid juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan tanpa mengira latar belakang, desa ataupun bandar kerajaan memberikan kesamarataan dan bukan mengikut kawasan sekali gus meningkat mobiliti sosial rakyat.

“Rakyat bukan saja diperkasa dan dipacu sebuah negara maju tetapi keseimbangan bandar dan luar bandar dapat dipertingkat kerana sokongan rakyat kepada BN sejak sekian lama,” katanya lagi.

Beliau menambah atas dasar baik inilah BN amat dicemburui oleh mereka yang mahu memadamkan rekod baik BN termasuk mereka sebelum ini pernah menjadi pemimpin BN.

“Kerajaan juga mengambil sikap mengutamakan keperluan rakyat dan akan berusaha untuk melaksana lebih banyak pembangunan berdasarkan kemampuan kewangan selain memberi kemakmuran untuk masa depan rakyat,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi pemimpin BN bukan saja datang semasa pilihan raya, tetapi sentiasa turun padang bila-bila masa berbanding pembangkang yang datang bermusim.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan untuk pembinaan Kampung Gadong berjumlah RM350,000 selain mempertimbangkan untuk membina Pos Imigresen di Kampung Pendam Limbang dan Kampung Lumapas Brunei.

Beliau turut bermurah hati menyerahkan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 bagi hadiah untuk Lumba Kerbau.

Terdahulu Dr Abdul Rahman berkata Limbang masih memerlukan limpahan pembangunan daripada kerajaan negeri dan pusat.

Antara permohonan diutarakan kepada kerajaan pusat untuk dilaksana di sini membabitkan kemudahan jalan raya, membina baharu jalan raya Buang Abai ke Pengkalan Rejab (fasa ke-empat), menaik taraf jalan raya Kampung Ipai ke Pendam sejauh 17 kilometer, membina Jalan Bukit Lubuk ke Kampung Seberang Kedai dan Kampung Berawan, prasana pendidikan, kesihatan dengan pembinaan Hospital Bangunan Pakar dan kemudahan lain. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget