KM bersungguh-sungguh bantu penduduk luar bandar

Adenan memperuntuk sejumlah RM1 bilion laksana pelbagai projek pembangunan di luar bandar: Wong

SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem memperuntuk sejumlah RM1 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di luar bandar, sekali gus menunjukkan sikap prihatin serta kesungguhan beliau membantu penduduk luar bandar.
Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh berkata, Ketua Menteri memohon RM500 juta daripada Kementerian Kewangan pada awal 2015 bagi melaksana projek pembangunan luar bandar di seluruh Sarawak.
“Beliau kemudian memohon RM500 juta lagi menjadikan peruntukan keseluruhan bagi pembangunan luar bandar sebanyak RM1 bilion,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Ahli Jawatankuasa Persatuan Tuai Rumah Sibu (PTRS) malam kelmarin.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Bangit, Temenggung Stanley Geramong, Pemanca James Semilan, Penghulu Jeffery Sut, Penghulu Richard Ampi, bekas Pengerusi PTRS Linus Melin, Pengerusi PTRS Dieo Kanyan serta yang lain.
Wong yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti berkata, Ketua Menteri mempunyai perancangan besar untuk Sarawak terutama kepada penduduk Bumiputera di luar bandar.
Sehubungan itu katanya, ketua kaum terutama tuai rumah perlu menerang secara terperinci kepada penduduk rumah panjang berhubung perancangan besar yang dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri dan Ketua Menteri itu.
“Saya menyeru kepada semua tuai rumah untuk menerangkan secara terperinci kepada rakyat di rumah panjang mengenai polisi dan prinsip politik pembangunan dilaksana oleh kerajaan Barisan Nasional,” jelas beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.53 Bawang Assan itu memberitahu, Ketua Menteri telah bekerja keras dan pergi ke seluruh pelosok Sarawak bagi berjumpan dengan masyarakat Bumiputera terutama komuniti Dayak, termasuk di DUN Bawang Assan dan Dudong.
“Ketua Menteri telah pergi ke semua tempat bagi berjumpa dengan komuniti Bumiputera dengan harapan agar komuniti Bumiputera berdiri teguh di belakang beliau, agar beliau terus memerintah Sarawak untuk lima tahun lagi dengan mandat yang lebih besar.
Menurut Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) itu, sekiranya dipilih semula sebagai calon BN di DUN N.53 Bawang Assan, beliau berjanji untuk berkhidmat dengan bersungguh-sungguh bagi menyiapkan semua projek infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan tersebut.
Wong juga berharap apabila tiba masanya nanti, semua penduduk di DUN Bawang Assan akan memberi sokongan penuh kepada calon BN.

“Kita harus ingat yang Ketua Menteri memohon mandat lebih besar. Oleh itu, setiap undi untuk calon BN adalah undi untuk Ketua Menteri kerana semua calon BN ini adalah ahli Pasukan Adenan,” tambah beliau. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget