Kerajaan peruntuk RM3 juta sambung bekalan air di Sri Aman


SRI AMAN: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM3 juta  bagi tujuan menyambung bekalan air paip dari Simpang Klassen, Sri Aman menuju ke Lepong Simpai, Sri Aman dekat sini.
Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis menjelaskan, kerja menyambung batang paip ke kawasan berkenaan kini sedang giat dijalankan.
Menurutnya, dengan siapnya projek itu kelak, ia akan mengatasi masalah ketiadaan air paip di kawasan itu yang melibatkan kira-kira 10 rumah panjang di kawasan berkenaan.
Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di sini, semalam.
Harden berkata kerajaan turut merancang menyambung bekalan air bersih dari kawasan Rumah Daniel Lawi, Kampung Guntong menuju Klinik Kesihatan Batu Lintang, menuju Rumah Richard, Kampung Ijok dan seterusnya ke Rumah Sherit, Kampung Titikah dengan peruntukan berjumlah RM32 juta.
“Jika permohonan kita dilulus, ia bakal memberi manfaat kepada sekitar 20 rumah panjang di kawasan Undop, malah projek ini juga akan mengatasi masalah ketiadaan bekalan air bersih di kawasan ini,” jelasnya.
Harden turut mengajak rakyat di kawasan DUN Simanggang supaya terus memberi sokongan padu kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Beri sokongan kuat dan beri peluang kepada beliau membangunkan Sarawak untuk beberapa penggal akan datang. Kita telah melihat, banyak perubahan dan pembangunan yang telah dibawa oleh beliau untuk negeri Sarawak.
“Di sini jelas terbukti beliau amat menitikberatkan pembangunan untuk negeri Sarawak dan jelas terbukti juga menerusi Bajet 2016 terdapat banyak peruntukan diagihkan kepada negeri Sarawak oleh kerajaan persekutuan,” katanya.
Hadir sama pada program berkenaan, Pegawai KEMAS Bahagian Sri Aman Josipah Sabas, Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Marinda Stewart Thaim, Penyelia Kanan KEMAS Parlimen Sri Aman Fatimah Tahir, Pembantu Pembangunan Masyarakat KEMAS Sri Aman Kelvin Lambai serta yang lain.
Pada perjumpaan tersebut, Harden turut menyampaikan sejumlah peruntukan kepada Kelab Kebajikan KEMAS Sri Aman untuk tujuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget