Air kekuningan di Miri selamat diminum: Dr Teo

LAKU telah berjaya atasi masalah tersebut hasil bantuan dua pakar kimia dari Kuala Lumpur

MIRI: Meskipun bekalan air paip ke kediaman di sekitar bahagian ini berwarna kekuningan sejak minggu lepas, namun penduduk di sini tidak perlu bimbang, kerana air tersebut selamat untuk diminum.
Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo memberitahu perkara tersebut kepada Utusan Borneo di sini, selepas memperolehi pengesahan mengenai perkara tersebut daripada Pengurus Operasi LAKU Philip Wong, ketika mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air LAKU Sungai Liku di Lambirdekat sini, petang semalam.
Dr Teo berkata, LAKU telah berusaha mengatasi masalah kekuningan tersebut dan hasil bantuan daripada dua pakar kimia yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur, mereka berjaya menyelesaikannya dan ketika lawatannya (Dr Teo) semalam, beliau berkata masalah kekuningan berjaya diatasi.
“Menjelang petang ini (semalam), warna air mulai pulih seperti sedia kala dan kita ingin mengucapkan terima kasih atas usaha pihak LAKU dalam mengatasi perkara tersebut dan orang ramai di Miri tidak perlu lagi bimbang berhubung warna air yang kekuningan ini,” jelasnya.
Turut berada di loji rawatan air untuk memberi taklimat kepada beliau ialah pakar kimia, Lim Eng Wah daripada Chemkimia Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Menurut Dr Teo, beliau menerima banyak panggilan dan aduan berhubung isu air yang berwarna kekuningan itu sejak tiga hari lepas, menyebabkan beliau kemudian melawat loji berkenaan untuk melihat sendiri kenapa masalah tersebut timbul.
“Selepas saya mengadakan lawatan ke loji rawatan berkenaan dan diberi taklimat serta penjelasan oleh Wong, saya menarik nafas lega, lebih-lebih lagi setelah diberi jaminan bahawa air tersebut selamat untuk diminum dan keperluan memasak,” katanya.
“Saya difahamkan keadaan air yang kekuningan ini disebabkan keadaan cuaca kemarau, menyebabkan paras air di Sungai Liku terlalu rendah, justeru pihak LAKU terpaksa mengambil bekalan air dari Sungai Bakong.
“Walaupun sudah melalui proses rawatan, airnya masih kekuningan, namun ujian daripada pakar kimia daripada Chemkimia Sdn Bhd petang tadi (semalam) mengesahkan, airnya tetap selamat untuk diminum dan kegunaan awam,” jelas Dr Teo.
Air dari Sungai Bakong pula secara semula jadinya berwarna keperangan kerana pengaruh bentuk buminya dan warna berkenaan semakin perang apabila keadaan paras air semakin rendah kerana musim kemarau.
Sementara itu, keadaan air yang kekuningan terutama sejak beberapa hari lalu, telah menimbulkan rasa panik di kalangan orang awam hingga ramai yang membeli bekalan air mineral dalam botol di kedai-kedai dan pasar raya.
Dalam pada itu, Pengurus LAKU Wilayah Miri Lo Su Onn dalam kenyataan media di sini semalam, turut mengumumkan mengenai perkara tersebut.
Beliau turut memberi jaminan bahawa air berkenaan selamat diminum dan warnanya yang kekuningan bukan disebabkan oleh kandungan yang terdapat dalam air atau sebagainya.
Katanya, bagi pengguna yang masih berdepan dengan masalah air yang keruh dan memerlukan bantuan, mereka boleh menghubungi talian khidmat LAKU – 085-436626/426626.
“Untuk makluman, kerajaan negeri sudahpun melantik perunding bagi merangka reka bentuk terperinci sistem pengambilan air dari Batang Baram (untuk disalurkan ke Loji Rawatan Air Sungai Liku di Lambir) yang akan memberi kualiti air lebih baik, apabila projek terbabit siap kelak,” tambah Lo lagi. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget