Spekulasi Uggah sebagai TKM amat berasas


KUCHING: Spekulasi bahawa Datuk Amar Douglas Uggah Embas bakal dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri (TKM) Sarawak yang baharu mempunyai asas amat kukuh.
Penganalisis Politik Dr Jeniri Amir berkata ia disokong beberapa faktor serta kelebihan dimiliki Uggah sebagai ahli politik yang cukup berpengalaman.
Menurutnya Uggah yang ketika ini menyandang jawatan kanan bagi sayap Pesaka, iaitu Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), jawatan yang sepatutnya mengisi jawatan TKM.
“Saya tidak dapat memikirkan orang lain untuk mengisi jawatan yang bakal dikosongkan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, dari segi kekananannya dalam politik dan parti.
“Kalau bukan Datuk Seri Douglas Uggah (dipilih) mana mungkin beliau diminta kembali ke Sarawak kerana beliau menyandang jawatan menteri kanan di Kuala Lumpur… sudah terang lagi bersuluh,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu menambah Uggah calon paling kanan, layak dan sesuai untuk jawatan itu walaupun terpaksa mengisi ‘kasut yang sangat besar’ ditinggalkan Jabu.
“Saya yakin Uggah mampu menggalas tugas penting ini walaupun terpaksa mengisi kasut yang sangat besar ditinggalkan Tan Sri Jabu, 42 tahun berkhidmat di bawah tiga Ketua Menteri (Tun Abdul Rahman Yakub, Tun Pehin Abdul Taib Mahmud dan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem).
“Ini kerana beliau mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam politik selain merupakan pemimpin akar umbi yang cukup popular dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Jeniri berkata pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu 1986 hingga 2013, Uggah mencatat peningkatan undi popular yang besar iaitu daripada 64 peratus (1986) kepada 88 peratus (2013).
Sementara itu, Dr Awang Azman Awang Pawi, seorang lagi penganalis politik yang dihubungi semalam berkata pengalaman Uggah berkhidmat selama tujuh penggal bersama suka dan duka PBB menangani pemberontakan politik terutama dalam isu Ming Court, amat bermakna.
Uggah juga menurut Awang Azman, mempunyai hubungan baik dengan kerajaan persekutuan sejak pemerintahan Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ini memberi kelebihan dan banyak mematangkan beliau dari segi tadbir urus sebuah kerajaan dan parti politik selain memberi peluang berinteraksi dengan pelbagai lapisan rakyat,” ujar pensyarah di Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya (UM) itu.
Menurutnya lagi, Uggah mempunyai pengalaman politik yang jarang dimiliki ahli-ahli politik di Sarawak bermula dari bawah iaitu sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak (1977-1986).
Beliau kemudiannya menyandang jawatan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman (1987-1990), Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (1990-1995), Setiausaha Parlimen di Kementerian Luar Bandar (1995-1999), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1999-2003), Timbalan Menteri Pengangkutan (2003-2008), Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kini sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
“Secara peribadi, Datuk Amar Douglas amat disenangi akar umbi kerana sifat mesra rakyat, merendah diri dan tidak sombong.
“Aspek ini merupakan pakej sangat penting dalam era politik baharu negara…Adenan memerlukan watak politik sebegini untuk bersama-samanya memacukan politik kesejahteraan di Sarawak,” ujarnya.
Spekulasi mengatakan Uggah bakal dilantik sebagai TKM semakin hebat selepas Adenan Isnin lepas dalam satu majlis di Debak mengumumkan bahawa Jabu tidak mempertahankan kerusi Layar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Adenan turut mengumumkan Uggah akan kembali bertanding di kerusi DUN Bukit Saban yang kini disandang Robert Lawson Chuat.
Difahamkan Lawson dikenal pasti bakal bertanding di kawasan Parlimen Betong pada PRU Ke-14, dijangka pada 2018 menggantikan Uggah. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget