Kerajaan negeri akan cuba bantu mangsa nahas di Johor: Fatimah


KUCHING: Kerajaan negeri akan cuba membantu tiga wanita dari Sarawak iaitu antara mangsa dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah van kilang dan lori pasir di Jalan Seelong-Kempas-Ulu Tiram, Senai, Johor Bahru pada 26 Mac lepas.

Dilaporkan, mangsa dikenali sebagai Lumie Deyo, 30, dan Florina Tihong, 24, yang kedua-duanya berasal dari Serian maut, manakala rakan mereka, Victoria Iring, 21, dari Rumah Ragai Nanga Balang Gaat, Kapit mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Kami akan cuba mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai insiden ini daripada Rumah Sarawak di Kuala Lumpur,” kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, semalam.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di sini, semalam.

Fatimah menambah, kerajaan negeri menerusi Rumah Sarawak juga akan cuba membantu dalam menguruskan penghantaran balik jenazah Lumie dan Florina termasuk perkara-perkara lain yang berkaitan.

“Mungkin kita akan menyerahkan kepada Rumah Sarawak untuk menguruskan penghantaran balik jenazah.

“Jika sudah sampai ke sini, kita akan memikirkan bantuan lain yang sepatutnya diberikan terutama kepada keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 6 pagi itu, Lumie dan Florina adalah antara enam pekerja kilang elektronik dan seorang pemandu yang maut selepas van dinaiki mereka hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah lori pasir.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget