KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani Deklarasi Kelantan sebagai tanda sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan beliau benar-benar orang parti yang berjiwa UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, perpaduan antara satu sama lain merupakan kekuatan UMNO terutama dalam keadaan sekarang yang semakin mencabar.
“Tindakan Tengku Razaleigh menandatangani Deklarasi Kelantan membuktikan beliau merupakan orang parti berjiwa UMNO kerana tidak mahu melihat perpecahan parti.
“Individu yang menyerang pemimpin hanya berniat melemahkan parti dan memutuskan menggunakan kaedah ini untuk melemahkan UMNO. Jika tidak berpuas hati, lawan atau jatuhkan pemimpin secara demokratik kerana UMNO sendiri mempunyai kaedah pemilihan parti,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Khamis lalu, Tengku Razaleigh menyatakan pendirian apabila turut menandatangani Deklarasi Kelantan yang menyatakan sokongan penuhnya terhadap Najib.
Deklarasi yang diserahkan kepada Najib itu susulan perhimpunan kira-kira 10,000 rakyat Kelantan di Kota Bharu pada Sabtu lalu bagi menyatakan sokongan kepada Najib serta menolak pakatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pembangkang.
Dalam pada itu, Mohamad Fatmi menjelaskan, pemilihan Najib sebagai Presiden mengikut Perlembagaan UMNO dan berbeza ketika pelantikan Dr. Mahathir sebagai Presiden.
Katanya, ketika zaman Dr. Mahathir dilantik sebagai Presiden, beliau mesti mendapatkan sokongan 30 peratus daripada UMNO bahagian berbeza ketika pelantikan Najib kerana sesiapa yang mahu bertanding jawatan Presiden atau mana-mana jawatan Ahli Majlis Tertinggi hanya perlu memenuhi syarat pernah menjadi Jawatankuasa Bahagian selama satu penggal.
“Oleh itu, pelantikan Najib dijalankan secara terbuka dan demokratik. Bagaimanapun, mengapa kini ada pihak yang ingin menjatuhkannya kerana jika tidak berpuas hati tunggu sehingga masanya tiba dan lawan secara demokratik,” katanya.
“Mana-mana pihak yang ingin menjatuhkan UMNO hanya menyusahkan kerana mereka bukan hanya memudaratkan parti tetapi merosakkan negara dan rakyat,” katanya.
- Utusan Online
Post a Comment