Bincang tentukan calon Bukit Semuja, Serembu


Adenan akan mengadakan pertemuan dengan semua wakil rakyat kawasan Serian dan Mambong



SERIAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata akan berbincang dengan semua wakil rakyat daripada kawasan Serian dan Mambong untuk memilih calon terbaik bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja dan Serembu.
Katanya, perbincangan tersebut akan melibatkan Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem, ADUN Tebedu Dato Sri Michael Manyin Jawong, ADUN Kedup Martin Ben, ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn dan ADUN Bengoh (Mambong) Datuk Dr Jerip Susil.
Justeru, beliau menegaskan hanya seorang calon akan dipilih bertanding di setiap kerusi berkenaan dan sesiapa sahaja calon dipilih harus disokong sepenuhnya bagi memastikan kemenangan mutlak kepada Barisan Nasional (BN).
“Saya tahu ada banyak parti menuntut Bukit Semuja dan Serembu. Tetapi  mereka tidak dapat menafikan bahawa kerusi ini untuk BN dan calon kerusi ini akan menggunakan lambang dacing.
“Maka, saya akan memilih calon terbaik untuk bertanding di sini (Bukit Semuja dan Serembu) dan syaratnya, sesiapa sahaja saya pilih mesti disokong penuh oleh semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Rasau di sini, semalam.
Adenan juga Pengerusi BN Negeri menambah calon bagi kedua-dua kerusi majoriti Bidayuh itu juga akan diumum apabila tiba masanya, sebelum hari penamaan calon.
“Saya akan mengumum hanya seorang calon bagi kerusi ini. Saya berharap rakyat akan menyokong mereka sepenuhnya kerana mereka adalah di dalam pasukan saya (Pasukan Adenan),” katanya.
Terdahulu, Adenan juga  mengumumkan bahawa Manyin, Martin dan Sagah akan kekal dicalonkan pada PRN ini  nanti.
Manyin sudah menjadi ADUN Tebedu selama empat penggal dan Sagah menyandang DUN Tarat selama empat penggal manakala Martin hanya satu penggal di DUN Kedup.
Sementara itu, Adenan berkata penduduk Kampung Rasau di sini bakal mampunyai sebuah dewan lebih baik untuk menjalankan aktiviti mereka.
Semalam, Ketua Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada kampung berkenaan bagi membina dewan bagi menggantikan balai raya sedia ada.
“Saya beri sebanyak RM500,000 membina dewan.  Saya minta jawatankuasa kampung memberi nombor akaun pada minggu depan,” katanya.
Terdahulu, Temenggung Masyarakat Bidayuh Bahagian Serian Henry Bujang dalam ucapan sempena majlis memohon peruntukan kepada Adenan membina balai raya atau dewan baharu.
Jelas beliau, ia bagi menggantikan balai raya sedia ada kerana sudah terlalu lama dan semakin usang.
“Dewan ini juga selalu diguna oleh agensi kerajaan dan swasta bagi menjalankan pelbagai aktiviti.
“Oleh demikian, kami berharap permohonan ini dapat diberi perhatian serta kelulusan,” katanya. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget