Adenan nafi umum nama Entri sebagai calon Marudi

Beliau hanya menyatakan akan meletak ‘berpala lasak’ (botak) – Entri dan Penguang sama-sama botak

MARUDI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam menafikan beberapa laporan berita dan akhbar menyatakan beliau menyebut nama Datuk Sylvester Entri Muran sebagai calon bagi kerusi DUN N.76 Marudi, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran SPDP di Dewan Suarah Baram di sini, pagi semalam Adenan berkata laporan berita oleh akhbar-akhbar terbabit (bukan Utusan Borneo) menyiarkan beliau menamakan Entri sebagai calon Marudi adalah tidak tepat sama sekali.
Beliau menjelaskan, semasa berucap di padang Majlis Daerah Marudi di Beluru, Bakong pada petang Selasa lalu, beliau hanya menyatakan akan meletak ‘berpala lasak’ (botak) namun tidak menyatakan nama dan membiar orang ramai terus berteka-teki kerana kedua-duanya, Entri dan Datu Dr Penguang Manggil sama-sama botak.
Menurut Adenan, beliau hanya akan mengumumkan calon bagi kerusi itu selepas berbincang dengan pihak atasan serta menilai setiap sudut dan kekuatan sokongan daripada kedua-dua belah pihak, Entri dan Penguang.
Sehubungan itu beliau menasihati kedua-dua pasukan dan penyokong Entri serta Penguang berhenti bertelagah, sebaliknya menjalin kerjasama memastikan kemenangan calon yang akan membawa dan menggunakan lambang ‘dacing’ (Barisan Nasional – BN).
“Kekuatan pasukan Dr Penguang dan kekuatan pasukan Entri, jika disatukan maka tiada orang akan dapat mengalahkan kita sebagai calon BN.
“Kita harus bersatu padu demi kemenangan calon BN yang menggunakan lambang dacing,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan penyokong pasukan Penguang dan Datuk Seri Tiong King Sing yang merupakan presiden SPDP.
Difahamkan daripada jumlah tersebut lebih 90 peratus hadir adalah pengundi berdaftar dalam DUN Marudi.
Daripada jumlah tersebut, lebih 1,000 masyarakat Cina Marudi yang sebahagian daripada mereka golongan peniaga, sanggup menutup operasi perniagaan mereka semata-mata mahu menghadiri majlis tersebut untuk menyatakan sokongan padu mereka kepada Penguang dan Tiong.
Situasi ini menyaksikan sebanyak 80 peratus premis perniagaan di pekan ini pagi semalam turut ditutup, menyebabkan pekan Marudi lengang seketika, sehingga majlis yang bermula jam 10 pagi itu, berakhir dua jam kemudian.
Kehadiran ramai memberi sokongan padu kepada Penguang turut mengagumkan Ketua Menteri yang turut memuji kerjasama mereka dan sokongan ditunjukkan itu melakar sejarah, kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Adenan sekali lagi memohon kepada pengundi agar memberi sokongan kepada kepimpinan beliau untuk tempoh lima tahun lagi bagi membolehkan beliau melakukan lebih banyak perkara dan membawa lebih banyak pembangunan, selepas berjaya menyelesaikan 50 keputusan termasuk pembangunan untuk rakyat Sarawak dalam tempoh dua tahun, selepas beliau menyandang jawatan Ketua Menteri Sarawak.
Turut hadir Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau serta ketua-ketua masyarakat, kaum dan ahli parti daripada setiap cawangan dan bahagian di DUN Marudi. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget