Jangan terpengaruh agenda burukkan Najib


KUALA LUMPUR - Ketua-ketua Umno Cawangan di Selangor diingatkan supaya tidak terpengaruh dakwaan pihak tertentu yang cuba memburukkan kepimpinan parti berhubung paksaan menandatangani Deklarasi Najib.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata perkara itu tidak timbul jika semua pihak terus memperkasakan parti hingga ke peringkat akar umbi.

"Paling penting mereka fokus isu pokok, isu-isu rakyat dan juga pelaksanaan dasar-dasar di samping menjadi jurucakap kepada hal-hal kebajikan dan keselesaan rakyat," katanya kepada di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Umno Cawangan Teratai, Hashim Abdul Karim bahawa, semua ketua cawangan Umno di Selangor diarahkan menandatangani deklarasi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Hashim juga mendakwa, cawangannya baru sahaja menerima satu surat deklarasi yang disediakan oleh Umno Selangor.

Katanya, kira-kira 5,000 ketua cawangan di seluruh Selangor telah menandatangani deklarasi itu sebagai menyokong kepimpinan presiden Umno itu.

Irmohizam juga menyifatkan tindakan Hashim itu sebagai sesuatu yang sudah dirancang dari awal bagi menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap pimpinan Najib.

"Saya kecewa kerana tindakan ini dilihat melangkaui prinsip-prinsip demokrasi yang diamalkan oleh negara kita yang mana rakyat boleh memilih pemimpin dan parti yang mereka suka dalam lima tahun.

"Ia boleh memburukkan imej demokrasi negara kita kerana cuba menggugat parti politik kerajaan yang menunjangi kerajaan Malaysia," katanya lagi.

- Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget