Ahli PRS DUN Tamin diminta berdamai demi BN: Masing


SIBU: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing menasihati ahli parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin supaya berdamai demi kepentingan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Beliau mahu mereka yang menentang pencalonan Christopher Gira Sambang sebagai pengganti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh menghentikan tentangan itu.
“Jangan bergaduh dan salah faham lagi. Cukuplah… jangan mengeruhkan keadaan. Bersatulah semula demi kepentingan parti dan rakyat di DUN Tamin.
“Masih belum terlambat bagi penentang Gira kembali semula bersama kita dan saya anggap perbuatan mereka adalah salah faham,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Andrew Lanting, Stapang dekat sini, Jumaat lalu.
Hadir sama ADUN Tamin Datuk Joseph Mauh Ikeh, Setiausaha Politik Ketua Menteri Majang Renggie, calon BN-PRS DUN Tamin Christopher Gira Sambang dan Tuai Rumah Andrew Lanting.
Menteri Kemajuan Tanah itu turut memperkenalkan Gira dan Majang yang merupakan calon BN-PRS masing-masing di DUN Tamin dan DUN Samalaju.
Beliau turut menangkis tuduhan penentang bahawa Gira hanya pilihan Mauh sendiri tanpa merujuk kepada ahli Majlis Tertinggi PRS.
“Itu tidak benar. Saya minta Mauh mencari siapa lebih sesuai sebagai penggantinya ketika saya minta beliau mencari penggantinya sebagai Ahli Parlimen Selangau pada 2004 dan beliau memilih Datuk Joseph Entulu Belaun ketika itu,” jelasnya.
Menurut Dr Masing, selain itu Gira juga dipilih sebagai calon berdasarkan kepada kelayakan akademik, pengalaman dan rekod personalitinya yang baik.
“Kita mahu semua 11 orang calon PRS menang pada PRN nanti supaya lebih senang kita mempertahan hak kaum Dayak di Sarawak,” katanya.
ADUN Baleh itu turut menggesa rakyat DUN Tamin supaya memberi sokongan padu kepada Gira pada PRN kali ini serta jangan terpengaruh dengan anasir-anasir luar menentang Gira.
“Kalau kita kaum Iban tidak mahu sokong orang Iban sendiri, siapa lagi? Jangan percaya kaum lain hendak sokong kita.
“Marilah kita bersatu padu dan jangan berpecah belah seperti suatu ketika dahulu.
“Kalau tidak sekarang, bila lagi kita hendak bersatu,” katanya.
Sementara itu, Mauh sekali lagi menepis tuduhan bahawa beliau adalah punca perpecahan ahli-ahli PRS di DUN Tamin.
Katanya itu adalah suatu pembohongan tidak berasas yang mungkin dihasut ‘musang berbulu ayam’. - Utusan Borneo.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget