Dr Patau Rubis meninggal dunia


KUCHING: Pengasas Parti Reformasi Negeri (STAR) Dr Patau Rubis meninggal dunia semalam selepas jatuh pengsan ketika menghadiri mesyuarat agung tahunan parti itu di sebuah hotel di sini semalam.

Bekas menteri muda Sarawak itu dikatakan jatuh pengsan sekitar jam 4 petang dan kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) namun disahkan meninggal dunia pada jam 5 petang.

Dr Patau, 70, meninggal seorang balu, Tessie dan tiga anak, dua perempuan, seorang lelaki (Jennifer, June dan Sean).

Beliau bertanding buat pertama kalinya di kerusi Mas Gading di bawah tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) 1986, namun tewas dalam pertandingan lima penjuru itu kepada calon Bebas, Patrick Anek Uren.

Pada 1990, Dr Patau bertanding semula di kerusi Mas Gading dalam pertandingan tiga penjuru dan menang dengan majoriti 3,232 undi.

Beliau mempertahankan kerusi itu pada 1995, selepas memperoleh majoriti 14,871 undi menentang dua pencabarnya.

Pada Oktober 1995, Dr Patau dipecat daripada kabinet negeri kerana didapati menyokong beberapa calon Bebas menentang calon BN pada PRU 1995.

STAR didaftar pada 9 Oktober 1996 dan Dr Patau menjadi presiden pertama semasa perhimpunan tiga tahun sekali parti pada 9 Mac 1997.

Pada PRU 2004, Dr Patau cuba mempertahankan kerusi Mas Gading di bawah tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menentang calon BN iaitu Datuk Dr Tiki Lafe namun usaha beliau tidak berjaya.

Tidak mahu mengaku kalah lebih awal, beliau kemudiannya bertanding semula pada PRU 2008 menentang Dr Tiki, bagaimanapun usahanya itu juga gagal. - Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget