Laporan 1MDB tidak lagi rahsia selepas dibentang di Parlimen


KUALA LUMPUR: Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak lagi menjadi dokumen rahsia rasmi (OSA) selepas ia dibentangkan di Parlimen.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin berkata, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB hanya dikelaskan sebagai dokumen rahsia rasmi sehingga Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Tadbir 1MDB dibentangkan ke Parlimen.

“Mesyuarat hari ini, Tan Sri Ambrin Buang Ketua Audit Negara menjelaskan selepas Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB dibentangkan ke Parlimen, Laporan Akhir Pengauditan 1MDB tidak lagi menjadi dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Hasan, keputusan untuk mengelaskan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB juga adalah hak Ketua Audit Negara, yang diberi kuasa perundangan untuk menjaga wibawa dan kerahsiaan jabatannya.

“Jika maklumat berkenaan bocor, ia akan memberikan persepsi negatif terhadap Jabatan Audit Negara,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut, Hasan meminta rakyat agar tidak perlu bimbang dengan syor dan rumusan Laporan PAC berhubung Kawalan Pengurusan Urus Tadbir 1MDB yang akan dibentangkan ke Dewan Rakyat nanti.

“Rakyat tidak perlu bimbang dan harus yakin dengan syor serta rumusan laporan PAC, kerana ia dirumuskan oleh ahli-ahli PAC terdiri daripada Barisan Nasional (BN) dan pembangkang,” katanya.

Sementara itu, ahli PAC Tony Pua berkata pihaknya sukacita dengan laporan daripada Ketua Audit Negara itu. Meskipun begitu, PAC masih belum selesai menyiasat 1MDB.

“Belum. Masih belum selesai. Kami masih belum selesai lagi dengan laporan. Kami masih perlu membaca dan meneliti dokumen-dokumen berkenaan,” katanya.

- Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget