Sekysen 375 Kanun Keseksaan diharap dipinda bagi memperluas definisi rogol


KUCHING: Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berharap cadangan pindaan terhadap Sekysen 375 Kanun Keseksaan dapat dibentangkan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung kini.

Pindaan ini adalah penting bagi membolehkan definisi rogol yang diperluaskan meliputi perbuatan memasukkan sebarang objek atau sebahagian anggota tubuh selain zakar ke dalam faraj, dimasukkan dalam undang-undang yang akan diperbaharui itu nanti.

“Saya harap definisi rogol yang telah diperluaskan ini dapat dimasukkan dalam undang-undang yang bakal diperbaharui itu nanti untuk memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada remaja perempuan yang menjadi mangsa rogol,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Seminar Ketahui Hak Anda: Hak Wanita Dalam Perundangan di salah sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Dalam pada itu kajian bagi memperluaskan definisi rogol telah dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama pegawai daripada Kementerian Kesihatan serta agensi, jabatan dan organisasi yang berkaitan.

Ia susulan daripada keputusan Mahkamah Rayuan di Kuching yang membebaskan Bunya Jalong daripada tuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur sehingga hamil dan melahirkan seorang anak.

Walaupun ujian DNA membuktikan bahawa Bunya merupakan bapa kepada anak mangsa, namun tertuduh dibebaskan kerana memasukkan jarinya yang berlumur air mani ke dalam faraj mangsa dan bukan melalui penetrasi zakar.

Kes ini telah mencetuskan kemarahan dan kekesalan di kalangan ramai pihak yang memperlihatkan kelemahan undang-undang di Malaysia yang semakin tidak adil dan kejam.

Berikutan kes itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Menterinya Datuk Seri Rohani Abdul Karim mahu pindaan dibuat ke atas undang-undang sedia ada bagi memberi perlindungan yang menyeluruh kepada mangsa rogol.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget