Pembangunan pendidikan jadi keutamaan dalam membangunkan Betong, kata Jabu


BETONG: Pembangunan pendidikan menjadi keutamaan dalam membangunkan Betong menjadi bahagian yang mempunyai pelbagai institusi pendidikan demi memartabatkan pendidikan untuk anak-anak di sini selain mempelbagaikan kemudahan asas lain.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata kemudahan pendidikan perlu dipertingkat untuk melahirkan tenaga kerja yang lebih mantap dan berkualiti.

“Banyak pusat pendidikan telah dibangunkan di sini seperti Politeknik METrO, Kolej Komuniti, GiatMARA, Maktab Rendah Sains MARA, Kolej Vokasional serta sekolah-sekolah menengah dan rendah, jadi kita cukup beruntung kerana tidak semua bahagian memiliki institusi pendidikan yang cukup banyak seperti Betong.

“Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan yang harus dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat di sini dan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap aspek pendidikan anak-anak luar bandar,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung, Rumah Panjang dan Masyarakat Cina Kawasan Betong di sini, kelmarin.

Menurut Jabu, pendidikan anak-anak akan terus menjadi keutamaan dalam pembangunan Betong kerana mahu anak-anak di sini mendapat pendidikan terbaik.

“Kita masih berharap agar kerajaan mempertimbang pembinaan sebuah Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEX) bagi memacu pendidikan teknikal dan vokasional yang akan turut memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan sekitar.

“Kita ingin melihat lebih ramai anak luar bandar berjaya dan bergaji besar seterusnya mengubah taraf hidup masing-masing menjadi lebih baik,” tegasnya.

Pada majlis sama, Jabu turut menyampaikan geran peruntukan berjumlah RM320,500 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung, Rumah Panjang dan Masyarakat Cina Kawasan Betong meliputi 1,282 pintu.

Peruntukan tersebut merangkumi kawasan Padeh Ulu, Layar Ulu, Layar Tengah, Layar Ili, Lidong Tengah, Lidong Ili, Nanga Spak serta Kampung Melayu dan kawasan pasar.

Turut hadir Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Residen Bahagian Betong Datu Romie Sigan Daniel, Timbalan Residen Pembangunan Galong Luang, Pegawai Daerah Betong Friday Belik serta Ketua-ketua jabatan dan masyarakat.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget