Larang Izzah, Tian Chua masuk Sabah tindakan terburu-buru, kata PKR


Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengharamkan kemasukan 2 naib presiden PKR memasuki negeri itu adalah tindakan terburu-buru, kata Chua Tian Chang.

Chua atau lebih dikenali dengan nama Tian Chua, salah seorang daripada naib presiden yang dilarang masuk ke negeri itu berkata, tindakan berkenaan adalah salah guna kuasa yang jelas tanpa mengambil kira proses-proses perundangan.

Beliau yang ditemui di lobi Parlimen hari ini berkata, jelas tindakan mengharamkannya dan Nurul Izzah Anwar masuk ke Sabah tidak wajar kerana mereka tidak diberi peluang menjelaskan keadaan sebenar.

“Jelas sekali ini satu penyalahgunaan kuasa daripada segi prosedur kerana tidak memberikan peluang kepada yang terlibat menjelaskan keadaan.
“Dan ini juga ‘jump the gun’... apa fungsi memanggil Nurul Izzah di bawah Akta Sosma dan saya sendiri belum disiasat lagi," katanya merujuk kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).

"Jelas sekali tindakan diambil berdasarkan tuduhan menteri yang mengatakan saya sebagai ‘mastermind’ di sebalik pertemuan tersebut.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, tindakan berkenaan menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah daripada Barisan Nasional (BN) membuat keputusan sepakat mengenai hukuman.

“Adun BN di Sabah sudah membuat keputusan mengenai hukuman, ini menunjukkan mereka sendiri tidak mahu mengikut proses sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan DUN Sabah mengharamkan kemasukannya dan Nurul Izzah ke Sabah.

Larangan itu dikeluarkan susulan isu pertemuan Nurul Izzah dengan puteri kesultanan Sulu, Jacel Kiram pada 9 November lalu.

Tindakan Izzah itu mengundang banyak reaksi negatif di kalangan rakyat dan dianggap tidak menghormati insiden berdarah di Lahad Datu.

Insiden yang berlaku 2 tahun lalu turut meragut nyawa anggota keselamatan negara ketika mempertahankan tanah air daripada pencerobohan tentera Sulu. –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget