Dasar baharu rumah mampu milik

DASAR BAHARU: Abang Johari bersama Abdul Karim (dua kanan) menunjukkan kenyataan yang menyenaraikan cadangan dasar baharu projek perumahan mampu milik, semalam. Turut kelihatan Abang Abdul Rauf (kiri), Harden (dua kiri) dan Dr Rahman (kanan).
Cadangan praktikal akan bantu golongan berpendapatan sederhana
KUCHING: Kementerian Perumahan bakal melaksanakan panduan dan dasar baharu bagi rumah mampu milik di negeri ini bermula tahun hadapan yang bukan sahaja menawarkan harga terbaik tetapi lebih kondusif dan luas.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, cadangan berkenaan sudah dirumuskan dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Pihak Berkuasa Perancangan Negeri (SPA), Jabatan Tanah dan Survei, Perbadanan Pembangunan Perumahan dan pihak berkuasa tempatan.

“Kajian dan pertimbangan mengenai isu utama sama ada industri dan pemaju telah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan ia dibawa kepada kabinet terlebih dahulu kerana membabitkan banyak agensi.

“Kita menjangkakan dasar boleh dilaksanakan mulai tahun hadapan dan kita mendapati ia adalah dasar yang benar-benar praktikal khasnya kepada golongan berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah,” katanya pada sidang media di Wisma Sultan Tengah di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, antara cadangan yang dikemukakan di bawah dasar perumahan baharu itu nanti termasuk rumah yang dibina di bawah kuota berkenaan harus dibahagikan kepada dua kategori iaitu harga unit bagi sederhana rendah dan sederhana.

Beliau berkata, dengan itu akan mewujudkan rumah mampu milik kepada mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah bulanan RM3,000 hingga RM5,000 dan mereka berpendapatan isi rumah bulanan RM5,000 hingga RM7,000.

Abang Johari berkata, ia sekali gus menangani isu keperluan rumah kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah di kawasan bandar khasnya.

“Cadangan lain termasuk meningkatkan keluasan unit rumah serta memperbaiki rekaan dan spesifikasi dengan minimum keluasan cadangan bagi rumah kos rendah iaitu 700 kaki persegi berbanding hanya 444 kaki persegi sedia ada, selain akan dilengkapi dengan tiga bilik tidur,” katanya sambil memberitahu ia adalah lebih kondusif kepada sesebuah keluarga.

Menteri Pelancongan itu berkata, bagi setiap pembinaan flat kos rendah atau pangsapuri ia akan dilengkapi dengan perkhidmatan lif.

Beliau memberitahu harga rumah yang dicadangkan di bawah dasar baharu itu masih dalam kajian, namun yang pasti rumah sederhana dan rendah berkenaan di bawah RM200,000.

“Di Sarawak, cabaran dan isu utama dihadapi dalam sektor perumahan termasuk pemaju swasta yang tidak begitu berminat untuk membina rumah kos rendah disebabkan tahap keuntungan rendah dan kos pembinaan tinggi.

“Selain itu harga rumah yang tinggi khasnya di bandar dan pinggir bandar yang menyebabkan kesukaran untuk memiliki rumah termasuk kepada golongan berpendapatan sederhana,” katanya.

Abang Johari mendedahkan, misalnya di Kuching dan Bintulu harga rumah teres dua tingkat mencecah RM550,000 seunit (Kuching) dan RM655,000 seunit (Bintulu).

Jelas beliau berdasarkan data Jabatan Statistik 2013, isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,000 yang dikategorikan berpendapatan rendah di bandar mencapai 31.6 peratus sementara isi rumah berpendapatan sederhana iaitu RM3,000 hingga RM7,000 adalah 44.6 peratus.

“Ini menjadikan keseluruhan peratusan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana di bandar adalah 76 peratus, iaitu agak tinggi.

“Maka, kita perlu menangani perkara ini dengan mewujudkan dasar lebih praktikal kepada semua golongan,” katanya.

Hadir sama, dua Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Datuk Francis Harden Hollis, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen dan Pengerusi Daya Builders Sdn Bhd Dr Abdul Rahman Junaidi.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget