Saifuddin dipilih selesaikan perebutan kerusi PKR-DAP untuk pilihan raya Sarawak


Ahli baharu PKR Datuk Saifuddin Abdullah ditugaskan untuk menyelesaikan perebutan kerusi di antara parti pembangkang bagi pilihan raya Sarawak, kata Nurul Izzah Anwar.

Naib presiden PKR itu berkata, langkah ini bagi memastikan ‎satu lawan satu di antara pembangkang dan Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam pilihan raya yang dijangkakan tahun depan.

Pengumuman itu dilakukan selepas terdapat laporan pergeseran di antara PKR dan DAP di Sarawak tentang siapa yang harus bertanding di 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Nurul Izzah berkata, Saifuddin merupakan individu terbaik untuk menjadi "orang tengah"di antara semua parti yang bakal bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak.

"Terdapat konsensus umum orang terbaik untuk memulakan rundingan ialah Datuk Saifuddin Abdullah kerana beliau dipilih DAP, PKR dan Amanah (Parti Amanah Negara).

"Beliau juga merupakan orang terbaik untuk memastikan semua tuntutan parti dipenuhi," kata Nurul Izzah kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Dilaporkan apabila Saifuddin menyertai PKR selepas keluar Umno pada Oktober, beliau akan mengetuai sekretariat untuk mengkoordinasi Pakatan Harapan yang melibatkan PKR, DAP dan Amanah.

Ini kerana beliau dihormati semua parti pembangkang berhubung peranannya ketika mengetuai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM). –The Malaysian Insider

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget