UPP yakin mampu tawan kerusi Repok

AHLI BAHARU: Wakil Pemuda UPP Cawangan Sarikei menyerahkan borang keahlian baharu kepada Wong sambil disaksikan ahli UPP yang lain.
UPP mempunyai calon berpotensi dan hubungan rapat dengan peringkat akar umbi
SARIKEI: Parti Rakyat Bersatu (UPP) yakin dengan kemampuan dimiliki mereka pada masa ini, terutama dalam usaha memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N39 Repok, jika diberi peluang oleh pihak kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berjuang dalam merampas semula kerusi terbabit daripada tangan pembangkang.

Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh berkata, UPP mempunyai calon yang berpotensi dan mempunyai hubungan yang rapat dengan peringkat akar umbi.

“Sekiranya UPP diberi peluang bertanding di kerusi ini, kita ingin meletakkan Pengerusi UPP Cawangan Sarikei merangkap Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS) Chan Pan Chan untuk menjadi calon kita di sini.

“Kita yakin dengan kemampuan beliau kerana selain mempunyai hubungan yang rapat dengan semua pihak, beliau juga merupakan seorang yang berpandangan jauh,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan maklum balas diterima daripada peringkat akar umbi, ternyata ramai yang setuju dan menyenangi Chan.

“Oleh yang demikian, atas faktor tersebut kita yakin beliau akan mampu membawa kembali kerusi DUN N39 Repok ini kembali ke tangan BN,” kata Wong.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan dan Ulang Tahun Pertama UPP Cawangan Sarikei di Dewan Suarah Sarikei, semalam.

Kira-kira 700 tetamu yang terdiri daripada ahli UPP serta ahli parti komponen BN yang lain turut hadir.

Menurut Wong, UPP sentiasa bersedia membantu kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.

“UPP sentiasa mengamalkan sikap terbuka dan kita sentiasa bersedia bekerjasama dengan semua parti komponen BN yang lain demi kebaikan bersama.

“Matlamat utama UPP pada masa ini adalah untuk memastikan kerajaan BN terus kukuh dan mengembalikan semula sokongan penuh daripada masyarakat Cina kepada kerajaan BN,” jelas Wong.

Menurut Wong, UPP merupakan rakan BN dan selama ini bekerjasama dengan BN, malah beliau mendakwa perjuangan parti itu mendapat sokongan daripada Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Pada majlis yang sama, Pengerusi UPP Cawangan Sarikei Chan Pan Chan berkata, kewujudan UPP sebagai sebuah parti mesra BN kini mulai diterima oleh peringkat akar umbi.

“Tahun 2015 adalah tahun istimewa bagi UPP Cawangan Sarikei kerana kewujudannya telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Buktinya, pada awal tahun jumlah keahlian kita hanya mencecah 1,000 orang namun pada pertengahan tahun ia telah bertambah kepada 2,000 orang.

“Pertambahan jumlah ahli ini meningkat dari semasa ke semasa, di mana hingga kini proses kemasukan ahli baharu sentiasa bertambah,” jelas Chan.

Kini jelas Chan, UPP telah menyasarkan pertambahan jumlah ahli baharu daripada kalangan golongan muda.

Tambahnya, dalam merealisasikan matlamat tersebut UPP telah melebarkan sayapnya ke kawasan luar bandar.

“Hasil daripada usaha tersebut, ternyata ramai golongan muda telah menunjukkan minat untuk menjadi ahli UPP.

“Ini kerana berdasarkan maklum balas yang kita terima daripada mereka UPP adalah sebuah parti yang terbuka dan sentiasa memberi peluang kepada golongan baharu,” ujar Chan.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget