DAPSY nafi naikkan kain rentang putuskan hubungan


SHAH ALAM - Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor hari ini menafikan memasang kain rentang di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Subang Jaya yang menunjukkan parti itu memutuskan hubungan dengan PKR Selangor dan menolak kepimpinan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar.

Sebaliknya Ketua DAPSY Selangor, Teh Hoong Keat berkata pergerakan belia itu menyokong penuh kepimpinan PKR Selangor dan Menteri Besar.

"Kami tidak memasang kain rentang itu. Ia hanya perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu merosakkan imej parti," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Teh diminta mengulas mengenai kain rentang itu yang dikatakan dipasang DAPSY yang tertera tulisan 'DAPSY Selangor akan memutuskan hubungan dengan PKR Selangor" dan "Kami menolak Azmin Ali sebagai MB Selangor".

Beliau percaya kain rentang itu dipasang ketika Kongres Nasional DAPSY di stadium berkenaan Ahad lepas.

Teh berkata DAPSY sudah menurunkan kain rentang itu dan satu laporan polis akan dibuat sama ada esok atau Khamis.

Sementara itu, beliau berkata pergerakan berkenaan mahu kerajaan negeri mewujudkan kerajaan Pakatan Harapan seperti yang dilakukan di Pulau Pinang.

Pakatan Harapan terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara, iaitu kumpulan serpihan Pas.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata tiada keperluan untuk mewujudkan kerajaan Pakatan Harapan di Selangor kerana senario politik di negeri itu berbeza dengan Pulau Pinang.

- Sinar Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget