Adenan akan mohon lebih banyak peruntukan naik taraf sekolah usang


SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan memohon lebih banyak peruntukan bagi menaik taraf sekolah yang usang di negeri ini.

Katanya permohonan itu akan dibuat sama ada kepada kerajaan pusat atau kerajaan negeri.

Adenan memberitahu, masih terdapat sekolah-sekolah di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman berada dalam keadaan daif dan perlu dinaik taraf.

“Saya akan dapatkan lebih banyak peruntukan untuk menambah baik sekolah-sekolah yang berkeadaan usang khususnya di pedalaman,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Bot Laju sempena Pesta Kanowit 2015 semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) Datuk Gramong Juna, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan ADUN Ngemah Alexander Vincent.

Dalam pada itu Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3 memberitahu sebanyak 124 sekolah di Sarawak mengalami masalah infrastruktur yang ‘rosak teruk’ dan memerlukan pembaikan serta merta.

Laporan itu menyatakan bahawa lawatan audit ke 145 sekolah di negeri ini mendapati 85.5 peratus daripadanya berada dalam keadaan usang, struktur kayu reput, tanah mendap, struktur konkrit rosak dan mempunyai masalah serangan anai-anai yang boleh mengancam keselamatan.

Menurut Adenan lagi, beliau berharap rakyat masih memberi mandat kepadanya untuk lima tahun lagi.

Jelasnya, beliau bukan seorang yang gila kuasa tetapi ingin meneruskan kesinambungan perjuangannya dalam melindungi dan menuntut hak rakyat Sarawak.

“Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Ketua Menteri melindungi dan memperjuangkan hak rakyat negeri ini.

“Saya hanya perlukan lima tahun dan tidak lebih daripada itu. Saya pernah menjadi Ahli Parlimen, menteri persekutuan, menteri kerajaan negeri dan saya tidak perlukan lebih daripada itu,” jelas beliau.

Katanya rakyat negeri ini wajar menikmati hak kesamarataan dengan memiliki lebih banyak pembangunan seperti yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget