Jangan hasut Ahli Parlimen BN Sarawak, Sabah letak jawatan: Fadillah


KUCHING: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof memberi amaran kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya tidak menghasut Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Sabah untuk meletak jawatan bagi membentuk gagasan politik baharu.

Beliau berkata kerajaan BN sebaliknya perlu terus fokus untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara.

“Jadi jangan cakap tak serupa bikin mahu kami (wakil rakyat) keluar daripada BN kerana pada ketika ini kita sendiri dapat melihat PKR berada dalam keadaan yang bercelaru…jadi saya malas mahu komen banyak mengenai perkara ini.

“Apa yang lebih utama ialah kita di BN perlu terus fokus untuk memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat selain khidmat yang baik kepada negara sekali gus memastikan negara akan terus mampu memacu kemajuan khususnya dalam aspek ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang melaporkan bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ‘memujuk’ wakil rakyat BN Sarawak dan Sabah untuk membentuk gagasan politik baharu.

Jelasnya, PKR sendiri telah menunjukkan sikap tidak sensitif akan perasaan rakyat Malaysia khususnya rakyat Sabah apabila baru-baru ini, anak Wan Azizah yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dikatakan bertemu dengan anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu, Jamalul Kiram III.

“Anaknya (Wan Azizah), Nurul Izzah sendiri yang tidak sensitif seperti apa yang berlaku di Lahad Datu, di mana ramai pasukan penyelamat dan rakyat kita yang terkorban tetapi dia (Nurul Izzah) pula mahu bekerjasama dengan musuh negara.

“Sanggup pergi jumpa musuh tanpa menghiraukan perasaan rakyat Sabah misalnya, yang menjadi mangsa korban, di mana rakyat Sarawak juga ada yang menjadi korban ketika berkhidmat di sana (Lahad Datu),” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya mengingatkan rakyat agar tidak terikut dengan politik yang berasaskan sentimen yang boleh menggugat masa depan negara.

Katanya rakyat perlu sentiasa berfikiran matang dan tidak bertindak mengikut perasaan yang tidak tentu hala.

“Saya mahu rakyat negeri ini khasnya sentiasa berfikiran matang supaya dapat memberi pandangan konstruktif kepada kerajaan untuk menambah baik sistem pentadbiran negara secara menyeluruh meliputi aspek ekonomi, politik, sosial dan sebagainya,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, kerajaan juga akan sentiasa meletakkan rakyat di barisan hadapan sebagai persediaan untuk menghadapi kehidupan dalam era moden yang kian sengit ketika ini.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Ingat Fadhillh lebih pintar, rupanya hipokrite juak. Nurul Izzah jadi isu tapi Najib bergambar dgn keluarga Kiram bolih. Apa, you ingat rakyat bodoh?

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget