Liu Thian Leong letak jawatan pemanca, tumpu politik


KUCHING: Liu Thian Leong meletak jawatan sebagai pemanca bagi kawasan Batu Kawa berkuat kuasa semalam untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang politik.

Liu yang merupakan pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) Cawangan Batu Kawa mengumumkan perkara ini pada sidang media yang turut dihadiri Presiden UPP Dato Sri Wong Soon Koh semalam.

Surat peletakan jawatan sebagai pemanca akan beliau serahkan kepada Wong yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembungunan Komuniti selewat-lewatnya Rabu ini.

Mengulas mengenai keputusan Liu itu, Wong berkata ia merupakan keputusan tepat bagi membolehkan bekas pemanca ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada bidang politik.

“Liu telah banyak berjasa dan menyumbang kepada masyarakat Cina di Batu Kawa sepanjang beliau dilantik sebagai pemanca.

“Kini sudah tiba masanya untuk beliau membuat pilihan sama ada mahu terus menjadi pemimpin masyarakat atau menyertai politik,” katanya.

Tambah Wong lagi, Liu telah bekerja gigih untuk berkhidmat kepada rakyat di Batu Kawa dan beliau yakin Liu merupakan calon terbaik untuk Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan.

“Saya berharap pucuk kepimpinan tertinggi BN terutama Ketua Menteri akan mengiktiraf usaha gigih Liu dan memilih beliau sebagai calon Batu Kawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” tambahnya.

Sementara itu Liu berkata bertepatan dengan polisi kerajaan, beliau perlu melepaskan jawatannya sebagai pemanca jika mahu terlibat secara aktif dalam bidang politik.

Dengan peletakan jawatannya sebagai pemanca, Liu kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasnya sebagai ahli politik mewakili kaum Cina di Batu Kawa.

Dalam perkembangan berkaitan, UPP Cawangan Batu Kawa akan mengadakan jamuan malam sempena ulang tahun pertama penubuhannya pada 25 November ini di Restoran Thian Court.

Selain meraikan ulang tahun pertama, jamuan pada malam itu juga akan menyaksikan pertabalan 1,000 ahli baharu UPP dengan majoriti daripadanya merupakan golongan muda Cina.

Turut dijangka hadir pada jamuan gilang-gemilang itu nanti ialah Timbalan Presiden UPP Datuk Dr Jerip Susil, Ketua Pemuda Dr Johnical Rayong Ngipa, Naib Presiden Kanan Ranum Mina selain Wong.

Dua penasihat UPP iaitu Temenggung Lu Kim Yong dan Dr Chou Chii Ming juga dijadual menghadiri jamuan itu nanti.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget