Sembilan pusat sumber dibina di DUN Nangka

Projek yang dibiayai kerajaan negeri dilaksana secara berperingkat bermula tahun depan: Dr Annuar

SIBU: Sembilan pusat sumber lengkap dengan perpustakaan dan kemudahan IT, masing-masing berharga RM500,000 akan dibina di kawasan DUN Nangka sebagai medium kanak-kanak sekolah memperoleh maklumat dan ilmu pengetahuan.

Ketika menyatakan perkara tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee berkata, projek itu akan dilaksana secara berperingkat dalam tempoh lima tahun.

“Kelulusan untuk membina sembilan pusat sumber berkenaan di sini telah diluluskan, di mana peruntukan akan diperolehi dari kerajaan negeri.

“Pusat sumber akan dibina akan menelan belanja sebanyak RM500,000 setiap satu. Projek itu akan bermula tahun depan dan akan dilaksanakan sepenuhnya dalam masa lima tahun,” katanya.

Jelasnya, melalui pusat itu pada masa akan datang, kanak-kanak di sini akan mempunyai tempat kondusif belajar pada waktu malam dan mereka boleh menggunakan perpustakaan dan komputer di sana.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penghargaan dan Majlis Penyerahan kad untuk Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Datu Baru di Surau Darul Jannah di sini, malam kelmarin.

Program itu dianjurkan bersama oleh jawatankuasa surau dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di sini.

Turut hadir ialah Pegawai JASA Sibu dan Mukah Awang Julaihi Awang Ali Borhan, Pencegahan Jenayah dan Ketua Daerah Seksyen Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Inspektor Mohd Fauzi Mohammat dan Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Muhamad Zulkifli Mohamad Nazri.

Dr Annuar menegaskan bahawa pusat sumber berkenaan juga boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti lain seperti mesyuarat.

Masih menyentuh mengenai pembangunan, beliau berkata terdapat peruntukan sebanyak RM750,000 pada tahun hadapan untuk membina sebuah surau baru di Kampung Hilir dan sebuah di Taman Kenari, Kemuyang, dekat sini.

Beliau juga melihat terdapat sambutan terhadap penggunaan Gelanggang Futsal Nangka di sini.

“Terdapat rancangan untuk membuka lebih banyak gelanggang futsal di Kampung Nangka untuk menampung keperluan yang semakin meningkat,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan aluan Pengerusi KRT Kampung Datu Baru Bujang Zainuddin Abdul Majid berkata mereka telah mengambil bahagian dalam mesyuarat jawatankuasa bandar selamat yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Sibu (SMC).

Katanya, rondaan SRS yang aktif pada masa kini hanya melibatkan sebahagian daripada ahli setakat ini.

“Oleh itu, kami berharap untuk melihat lebih banyak penduduk Kampung Datu Baru terutama orang-orang muda mengambil bahagian untuk memastikan persekitaran yang lebih selamat,” katanya.

Pada majlis itu, JASA turut menyumbang barangan makanan kepada ibu tunggal dan mereka yang memerlukan di samping pemberian insentif kepada pelajar cemerlang UPSR 2015.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget