DNP bertanding di kawasan majoriti Dayak

Bakal meletakkan calon di kerusi DUN Marudi, Lambir, Bekenu dan Senadin pada PRN akan datang

MIRI: Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dijangka lebih sengit dengan kehadiran sebuah parti baharu, Parti Kebangsaan Dayak (DNP) yang dijangka meletakkan seramai mungkin calon kaum Dayak berpendidikan dan berkerjaya profesional dalam bidang masing-masing di beberapa kerusi yang mempunyai majoriti kaum Dayak di negeri ini.

Tidak hanya terhad di kawasan luar bandar, parti itu turut menyasarkan kawasan bandar khususnya kawasan didiami ramai kaum Dayak.

Di Miri, spekulasi turut tercetus dengan DNP dikatakan bakal meletakkan calon-calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi, Lambir, Bekenu dan Senadin.

Antara keempat-empat kerusi tersebut, Senadin dikatakan antara kerusi paling panas dan bakal menyaksikan perebutan lebih daripada empat penjuru.

Selain Barisan Nasional (BN) mungkin ditentang musuh tradisinya PKR, kerusi Senadin bakal menyaksikan campur tangan DAP, kemungkinan calon Bebas dan kini DNP turut berminat terhadap kerusi itu.

Khabar angin hangat tersebar di beberapa laman media sosial dan ruang sembang sosial menyaksikan DNP bakal mempertaruh pembantu peribadi Ketua PKR Miri yang juga Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo iaitu Bill Kayong.

Spekulasi itu turut mempersoal kedudukan Bill sebagai bakal calon DNP memandangkan beliau kini masih Setiausaha PKR Cabang Miri.

Sementara itu, Bill ketika dihubungi di sini semalam memberitahu bahawa beliau tidak tahu mengenai dirinya dicalonkan sehinggalah terlihat namanya dalam senarai tidak rasmi dikeluarkan DNP baru-baru ini.

“Saya sedar khabar angin tersebut sedang bertiup kencang, khususnya di media-media sosial dan saya hanya mengetahui nama saya disenaraikan sebagai ‘bakal calon’ menerusi kenyataan tidak rasmi parti berkenaan dan sehingga kini belum ada sesiapa pun tampil bertemu dengan saya untuk menyatakan perkara secara jelas atau hitam putih,” jelasnya.

Bagaimanapun, Bill tidak membuat sebarang penafian berhubung ‘pencalonan’ tersebut atau mengesahkannya, sebaliknya berterima kasih kepada DNP kerana memilih beliau sebagai ‘bakal calon’ mewakili parti berkenaan dan kepercayaan parti baharu itu kepadanya.

Sementara itu, jurucakap parti tersebut memberitahu bahawa DNP kini dalam usaha mendaftarkan parti itu dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan jika diluluskan sebelum PRN maka DNP menggunakan logonya sendiri.

“Sebaliknya, jika parti kami masih belum sempat diluluskan pendaftarannya menjelang PRN maka kami memilih menumpang salah satu parti yang tidak aktif namun sudah berdaftar dengan ROS secara rasmi,” katanya.

Menurut beliau, terdapat banyak parti yang sudah berdaftar dengan ROS namun tidak aktif kerana kekangan pelbagai aspek termasuk kewangan.

Katanya, DNP akan memilih satu parti berkenaan dan seterusnya mengadakan mesyuarat agung tergempar membentuk satu jawatankuasa baharu bagi membolehkan ia bergerak.

Menurut jurucakap itu, sebahagian bakal calon mereka sudah dikenal pasti manakala sebahagian lagi masih dalam proses penentuan dengan beberapa bakal calon sudah mulai bergerak mencari sokongan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget