Saman Khalid, Ismail Sabri kerana tiada pilihan – Nurul Izzah


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak mempunyai pilihan lain tetapi mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil selepas dirinya dilemparkan dengan tuduhan dan fitnah yang sangat dahsyat ekoran pertemuannya dengan anak perempuan Sultan Sulu, Jacel Kiram.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya telah membuat permohonan maaf terutamanya kepada ahli keluarga dan mereka yang terlibat dalam pencerobohan pengganas Sultan Sulu di Lahad Datu.

“Saya tidak mempunyai sebarang pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang kerana saya dilemparkan dengan tuduhan yang sangat dahsyat,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, dia akan memberikan kenyataan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bukit Aman pada petang Jumaat.

Pada pagi Khamis, Nurul Izzah melalui peguamnya N. Surendran telah memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, Jalan Duta.

Dalam pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah menyatakan bahawa kedua-dua individu berkenaan telah menuduhnya sebagai ‘pengkhianat’ dan melakukan ‘jenayah’ yang serius.

Peguamnya N. Surendran menyifatkan dakwaan terhadap Nurul Izzah dengan melabelkannya sebagai ‘pengkhianat’ hanya kerana memenuhi permintaan anak perempuan Sultan Sulu itu adalah karut.-Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget