Gramong diumum calon BN di kerusi DUN Machan


SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Datuk Gramong Juna sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya Gramong adalah calon paling sesuai kerana rekod cemerlang dimilikinya termasuk memenangi Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machan sebanyak sembilan penggal.

Adenan memberitahu Gramong telah menjadi wakil rakyat DUN Machan sejak 37 tahun lalu dan ini memberi kelebihan kepada beliau.

“Namun ia terpulang kepada beliau sekiranya masih berhasrat untuk bertanding pada PRN nanti.

“Beliau sangat mengenali secara dekat rakyat DUN Machan dan terpulang kepada beliau dalam soal memilih calon sebagai penggantinya sekiranya ingin berundur kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perlumbaan Bot Laju sempena Pesta Kanowit 2015 semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) Datuk Gramong Juna, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang dan ADUN Ngemah Alexander Vincent.

Adenan pada majlis sama turut mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk diagih ke kawasan DUN Machan.

Menurut beliau, ia terpulang kepada Gramong sebagai wakil rakyat kawasan DUN Machan menggunakan peruntukan tersebut untuk membawa pembangunan.

Sementara itu, Gramong ketika ditemui selepas majlis perasmian tersebut memberitahu beliau memikirkan secara serius sama ada masih berhasrat untuk bertanding atau sebaliknya.

Beliau bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Adenan atas kepercayaan yang diberikan terhadapnya.

“Selain itu, beliau turut memberi kepercayaan kepada saya dalam memilih pengganti kerana yakin dengan cara kerja yang ditonjolkan selama ini,” jelas beliau.

- Borneo Post Online

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget