UPP hanya ikut segala nasihat, arahan Adenan, kata Rayong


KUCHING: Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dr Johnical Rayong Ngipa hari ini mengulangi pendirian tegas parti bahawa mereka hanya mengikut segala arahan dan nasihat Ketua Menteri selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berhubung kemelut yang melanda parti itu dan komponen BN yang lain.

Katanya hanya Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang berhak membuat keputusan tentang hala tuju parti itu dan sebuah lagi parti mesra BN iaitu TERAS memandangkan beliau adalah pemimpin tertinggi di peringkat negeri dan ketua kepada semua komponen BN di negeri ini.

“Setiap orang bebas untuk memberi pandangan tentang politik semasa khususnya yang berkaitan dengan UPP dan TERAS namun kata putus terpulang kepada Adenan selaku ketua di peringkat negeri.

“Justeru kita harus mengikut arahan serta nasihat beliau,” katanya yang juga naib presiden UPP serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili.

“Sebagai Ketua Menteri, sudah pasti beliau mempunyai hak dan keistimewaan yang tersendiri justeru apa sahaja nasihat dan gesaan beliau wajar dihormati dan dipatuhi oleh semua presiden dan ahli parti komponen BN di negeri ini,” katanya dalam WhatsApp kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang dibuat Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Datuk Amar James Masing dalam satu program di Kanowit kelmarin yang antara lain mahu UPP dan TERAS menjadi komponen BN jika mahu menggunakan logo BN semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Masing, untuk menggunakan logo BN mereka perlu menyertai semula Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) yang merupakan parti lama masing-masing atau bertanding menggunakan logo sendiri.

“Bagi saya, ia adalah mudah. Sama ada kedua-dua ahli parti itu kembali ke parti lama masing-masing atau mereka bertanding menggunakan logo sendiri dan tidak menumpang populariti BN,” kata Masing.

Mengulas lanjut, Dr Rayong menekankan bahawa UPP tidak mengambil kisah kenyataan itu kerana ia di luar kenyataan dan tidak selari dengan kenyataan dan nasihat Adenan sebagai pemimpin tertinggi Sarawak.

“Kita menaruh keyakinan tinggi bahawa Adenan mempunyai formula untuk merungkai serta mencari jawapan terbaik kepada kekusutan yang melanda parti komponen BN.

“Untuk itu kita harus membiarkan beliau membuat keputusan dan wajar mengikutinya jika itu yang beliau utarakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa UPP akan menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Adenan di peringkat negeri dan Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat persekutuan.

“Kesetiaan kami kepada kepimpinan kedua-dua mereka cukup tinggi dan usah dipertikaikan.

“Oleh yang demikian kami akan melakukan yang terbaik pada PRN akan datang agar Adenan terus mengepalai jentera kerajaan untuk penggal seterusnya serta menghadiahkan kejayaan kepada Najib yang cukup banyak menyumbang kepada negeri ini sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara,” katanya.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget