SUPP Cawangan Opar, Bau masih wujud, dapat sokongan lebih kuat


KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Opar masih wujud malah mendapat sokongan lebih kuat daripada penyokongnya di situ, kata Pengerusinya Ampel Barba.

Justeru ujarnya, SUPP tidak akan membenarkan parti lain mewakili Barisan Nasional (BN) di konstituensi Opar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“SUPP Opar masih ‘hidup’ dan semakin kuat di Opar. SUPP tidak akan memberi laluan kepada mana-mana parti politik mewakili BN di Opar,” katanya ketika berucap pada program gotong-royong di Kampung Judin, Bau baru-baru ini.

Ampel berkata rakyat di kawasan itu harus sedar, hanya BN dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem boleh membawa lebih banyak pembangunan di kawasan luar bandar di negeri ini.

Oleh itu katanya, pengundi lebih-lebih lagi di Kampung Judin mesti menyokong hanya BN dan Ketua Menteri.

“Hanya BN akan membawa lebih banyak pembangunan di kawasan luar bandar,” ujarnya sambil mempelawa penduduk di situ yang belum menjadi ahli mana-mana parti komponen BN agar menyertai SUPP.

Sementara itu, gotong-royong yang bermula seawal jam 8 pagi itu disertai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) Kampung Jubin dan lapan ahli SUPP Opar.

Ampel berkata objektif utama gotong-royong itu ialah membersihkan empangan air daripada sumber tekanan graviti di kampung itu yang merupakan satu-satunya sumber bekalan air di situ.

Bagi mengeratkan lagi hubungan antara parti dengan penduduk kampung, katanya makan tengah hari diadakan, sumbangan SUPP Opar selain membantu mendaftar pengundi baharu yang layak.

“Terima kasih kepada JKKK kampung yang diketuai Ketua Kaum Amat Daud Keseng serta yang lain kerana memberi kerjasama bagi menjayakan aktiviti ini,” katanya.

Hadir sama dua calon boleh menang mewakili SUPP di kerusi DUN Opar pada PRN akan datang iaitu Billy Sujang dan Niponi Undek.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget