Pertemuan Nurul Izzah-Jacel Kiram Satu Pengkhianatan, Penganalisis Politik


KUALA LUMPUR - Mana-mana negara sekali pun akan menjalankan siasatan terhadap rakyatnya yang didapati telah bertemu dengan "musuh negara" kerana tindakan itu adalah satu bentuk pengkhianatan, kata seorang penganalisis politik.

Bersependapat dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang mengecam pertemuan di antara Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan 'puteri' Sulu Jacel H. Kiram bahawa ia suatu "perbuatan keji", kata penyandang Kursi Tun Abdul Razak dan Profesor Pelawat dalam bidang sains politik di Universiti Ohio, Amerika Syarikat, Prof Dr Jayum Jawan.

Beliau juga menyifatkan ahli politik muda itu seperti mengkhianati rakyat Sabah dan memperlekehkan pegawai penguatkuasa undang-undang yang terkorban ketika mempertahankan negara daripada serangan pencerobohan bersenjata di Lahad Datu pada 2013.

"Jacel adalah anak kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III, yang mengarahkan pencerobohan ke atas Sabah demi kepentingan tuntutannya terhadap negeri itu.

"Bertemu dengan musuh negara adalah satu tindakan sangat keji kerana pada hakikatnya beliau (Nurul Izzah) patut menjadi contoh seorang patriot kepada seluruh rakyat Malaysia," kata Jayum kepada Bernama.

Selepas gambar pertemuan beliau bersama-sama Jacel menimbulkan kontroversi, Nurul Izzah mengakui dalam satu kenyataan bahawa beliau bertemu Jacel pada 9 Nov di Filipina, bersama-sama dengan Anggota Parlimen Batu Tian Chua.

Nurul Izzah berkata beliau tidak pernah meminta untuk bertemu malah tidak pernah mengenali Jacel sebelum ini, dan Jacel merupakan seorang daripada tetamu yang diundang oleh hos beliau pada satu majlis di Manila.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Ahad lepas dipetik sebagai berkata bahawa Nurul Izzah, yang merupakan Anggota Parlimen Lembah Pantai, boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Seksyen 124 Kanun Keseksaan.

Walaupun Nurul Izzah telah memohon maaf, tindakan beliau dianggap serius kerana telah bertemu musuh negara yang bertanggungjawab terhadap pencerobohan di Lahad Datu, kata Khalid, sambil menambah kata bahawa pemimpin PKR itu akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Jayum, yang juga Timbalan Ketua Kluster (Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa) Majlis Profesor Negara (MPN), turut bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa tindakan undang-undang perlu diambil dan polis akan menyiasat perkara itu.

Ahmad Zahid berkata polis akan sentiasa berhubung dengan Jabatan Peguam Negara untuk melihat jika sebarang tatacara tindakan boleh diambil terhadap Nurul Izzah kerana "mengiktiraf" musuh negara.

"Hakikatnya, kata-kata TPM adalah benar apabila beliau berkata ia bukan satu isu politik dan tidak boleh dianggap sedemikian. Tetapi perbuatannya (Nurul Izzah) telah mencabar keselamatan dan kedaulatan negara, serta integriti sebagai sebuah negara bangsa bebas, yang sepatutnya dihargai dan disokong oleh setiap rakyat Malaysia," katanya.

Jayum juga menyokong saranan sesetengah badan bukan kerajaan dan parti politik Sabah bahawa Nurul Izzah hendaklah dilarang daripada memasuki negeri berkenaan.

"Nurul Izzah mengkhianati rakyat Sabah dengan mengadakan pertemuan dengan musuh yang telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat Sabah.

"Permohonan maaf sahaja tidak cukup... beliau mesti meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana beliau telah kehilangan kuasa moral untuk terus bersuara dan mempertahankan perlembagaan Malaysia. Saya juga percaya 'lagaknya' bergambar itu telah membunuh masa depan PKR di Sabah," kata Jayum.

- Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget