Masalah bekalan air Long Lama perlu tindakan segera


MIRI: Masalah terputus bekalan air bersih bukan perkara baharu di Long Lama bahkan kejadian sama berlaku di Sekolah Menengan Kerajaan (SMK) Long Lama Miri baru-baru ini.

Paling menyedihkan, masalah itu berlaku ketika 250 pelajar menduduki peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggil Persekolahan Malaysia (STPM).

Sumber memberitahu, masalah itu berlaku sejak 20 November lalu dan ia menimbulkan kesan amat mendalam kepada pelajar dan guru di sekolah berkenaan.

“Ramai pelajar tidak dapat fokus dengan peperiksaan gara-gara ketiadaan air di tandas sekolah. Perkara itu dipanjangkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) namun jawapan diterima amat mendukacitakan,” katanya.

Katanya, masalah itu seakan-akan rutin di Long Lama kerana ia kerap berlaku.

Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau ketika dihubungi Utusan Borneo memberitahu pihak berkaitan harus peka masalah ini dan menyelesai secepat mungkin.

“Saya mahu masalah ini segera diberi perhatian. Kita tidak mahu terputus bekalan air bersih ke Long Lama menjejaskan rutin harian penduduk termasuk masalah kesihatan,” katanya.

Menurutnya, tindakan menghantar tangki air di Long Lama hanya jalan penyelesaian singkat sebaliknya pihak berkaitan harus mencari jalan jangka panjang memastikan bekalan air bersih ini sentiasa ada.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dennis Ngau terkejut dengan masalah itu seterusnya menghubungi pejabat Daerah Long Lama untuk mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

“Saya diberitahu masalah ini berlaku disebabkan kerosakan dua pam air tidak diselenggarakan sejak Jumaat.

“Dan peralatan alat ganti untuk kerosakan berkenaan telah ditempah. Saya mahu masalah ini selesai segera,” katanya.

Meskipun tangki air dihantar ke Long Lama, namun kata Dennis, satu jalan penyelesaian jangka panjang perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang dan membebankan penduduk.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget