Tindakan Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen yang bertegas untuk berbahas menggunakan bahasa inggeris semasa perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan 2016 di Dewan Rakyat pada selasa lalu telah mencetuskan reaksi yang pelbagai; ada yang menyokong, ada yang anggap biadap dan tidak kurang yang berkecuali.
Di semenanjung rata-rata pemimpin serta penyokong Barisan Nasional (BN) marah dengan tindakan Chong yang dianggap melampau kerana tidak menghormati peraturan Dewan Rakyat yang mewajibkan ahlinya bercakap dalam Bahasa kebangsaan ketika persidangan melainkan dengan izin speaker terlebih dahulu.
Menurut Chong yang juga ketua DAP Sarawak, sudah menjadi hak yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia yang membolehkan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam bahasa Inggeris di Dewan Rakyat.
Wakil Sarawakiana cuba mendapatkan komen dari beberapa pemimpin tempatan Sarawak terhadap tindakan Chong, namun ramai yang mengambil sikap berkecuali dan enggan mengulas.
Seorang pemimpin dari parti komponen BN Sarawak yang enggan dinamakan berkata, beliau tidak menyokong tindakan Chong untuk engkar terhadap arahan speaker Dewan Rakyat, tapi sudah sampai waktunya rakyat Sarawak menuntut hak.
“Tindakan Chong mungkin nampak agak biadap, namun tuntutan beliau untuk berbahasa inggeris adalah berasas.
“Rakyat Sarawak perlu bersatu dalam hal yang melibatkan hak, meskipun kita berbeza ideologi politik,” katanya.
Menurutnya, ini mungkin kali pertama beliau bersetuju dengan tindakan pemimpin DAP itu.
Ketika diminta mengulas adakah Dewan Rakyat perlu meminda peraturan bagi membolehkan wakil rakyat dari Sarawak dan Sabah berucap dalam bahasa inggeris, beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian agar hak mereka yang tidak mampu berbahasa melayu boleh dipertahan.
Sementara itu, seorang penyokong sebuah parti politik di Sarawak memberitahu wakil Sarawakina, tidak ada faedahnya untuk melenting terhadap pemimpin seperti Chong, lebih baik memikir langkah penambahbaikan dalam penggunaan bahasa inggeris di Sarawak.
“Kami sudah lama terkongkong dalam terpurung bahasa melayu yang membataskan pencapaian serta ilmu pengetahuan, perlu ada langkah ke hadapan.
“Sarawak tidak menolak bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan negara, tapi Sarawak juga perlu memiliki identiti sendiri dengan menjadikan inggeris sebagai bahasa rasmi,” tegas nya
Beliau memuji usaha Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk mengiktiraf UEC dan menjadi bahasa inggeris sebagai bahasa rasmi, selain Bahasa melayu di Sarawak.
"Rakyat Sarawak perlu bergabung tenaga dibelakang Ketua Menteri Sarawak agar usaha-usaha beliau berjaya dicapai," katanya. - Sarawakiana
Post a Comment