Golongan talam dua muka ancam keselamatan negara

Demokrasi tidak beri hak kepada individu cetus huru-hara

LIMBANG: Masih terdapat segelintir golongan yang menjadi talam dua muka menyatakan setia pada negara tetapi masa sama cuba mencetus huru-hara atas nama kebebasan dan kepentingan peribadi.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, golongan tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan keamanan negara akan terancam.

Beliau berkata kerajaan sedia ada tidak pernah menyekat mana-mana golongan menyuarakan pendapat mereka.

“Bagaimanapun demokrasi tidak memberi hak kepada mana-mana individu menimbulkan huru-hara dan memecah-belah semangat perpaduan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Karnival Jiranku Keluargaku di Dewan Kampung Pahlawan semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Turut sama ialah wakil Residen Limbang Awangku Sahrizan Awangku Morsidi, Wali Kota Majlis Daerah Limbang MDL) Kaunselor Sufian Mohat, Pegawai Perpaduan Bahagian Mohd Fakri Asmad, Ketua Kampung Pahlawan Bungsu Tambah, pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sepanjang Jalan Pandaruan dan jemputan lain.

Awang Tengah berkata, keadaan huru -hara amat merugikan negara dan menyebabkan ekonomi negara merundum jatuh dan kebebasan serta pergerakan orang menjadi terbatas.

Oleh itu jelasnya semangat perpaduan di negara ini merupakan prasyarat utama untuk menuju status negara maju menjelang 2020.

“Tanpa perpaduan adalah sukar bagi kita untuk memupuk persekitaran politik sihat, ekonomi berterusaan meningkat maju dan menjamin kedudukan sosial rakyat,”jelasnya.

Jelasnya KRT sebagai badan sukarela di peringkat akar umbi bersama kerajaan memainkan peranan penting dan diperlukan untuk menyemai nilai dan sikap saling menghormati, bertoleransi dan saling bantu membantu.

Pada masa sama katanya ia memupuk semangat kekitaan dan perkongsian di antara kaum, membina generasi yang mampu mengekalkan perpaduan dalam pembangunan ekonomi, politik dan sosial.

“Kita sebagai rakyat Malaysia harus melipatgandakan usaha dan perlu bekerjasama serta berganding bahu tanpa mengira agama, bangsa dan kaum bagi meneruskan kesinambungan kejayaan dan kemakmuran yang dikecapi,”katanya lagi.

Terdahulu Paulus mahu budaya Jiranku Keluargaku akan disemai dan disuburkan kembali bagi memastikan nilai murni seperti gotong-royong, sikap ambil peduli tidak terhakis dari arus pembangunan.

“Kita tidak mahu dalam dunia semakin membangun nilai kerjasama, sikap prihatin dan gotong-royong terhakis khususnya dalam kalangan generasi muda hari ini,”ujarnya lagi.

Program anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) disertai sekitar KRT sepanjang Jalan Pandaruan.-Utusan Borneo

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget