Kecekalan Wan Azizah setara Aung San Suu Kyi

Wan Azizah cekal memimpin PKR daripada sebuah parti kecil sehingga menjadi parti dominan dalam politik negara.

PETALING JAYA: Ketokohan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memimpin PKR setara dengan dengan kecekalan pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali membuat pujian itu kerana kecekalan Wan Azizah memimpin parti itu daripada sebuah parti yang kecil kepada sebuah parti yang dominan dalam politik negara.

Katanya, ketokohan dan kecekalan Wan Azizah itu harus menjadi iktibar kepada wanita.

“Ketokohan beliau setara dengan kecekalan Aung San Suu Kyi di Myanmar. Kejayaan National League for Democracy (parti pimpinan Suu Kyi) menambah bukti betapa besarnya sumbangan wanita dalam pembangunan demokrasi,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Timbalan Presiden dan perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR di Dewan Sivik Petaling Jaya pada Jumaat.

Dalam ucapan itu, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor turut menyentuh isu penjualan loji penjana kuasa Edra Global Energy kepada China dengan nilai RM9.87 bilion sebagai langkah untuk menebus hutang 1MDB.

Katanya, penjualan itu sangat tidak patriotik memandangkan pemilikan syarikat penjana kuasa merupakan kepentingan nasional.

“Penjualan Edra Global Energy kepada China kelihatan berkaitan dengan persoalan keselamatan Laut China Selatan di mana China secara agresif mendakwa memiliki Laut China Selatan di dalam ruang “Nine-Dash-Line”.

“Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini telah gagal membentuk muafakat ASEAN berhubung dengan keselamatan Laut China Selatan yang mengancam kestabilan rantau ini.

“Adalah suatu tragedi, ASEAN mempunyai doktrin ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) yang dicetuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak tetapi dicabuli oleh puteranya sendiri kerana Najib menikus di depan kuasa asing,” katanya.

Pengikut peraturan asal, syarikat asing hanya dibenarkan memiliki 49 peratus ekuiti dalam penjana kuasa tetapi pentadbiran Najib didakwa memindanya untuk membolehkan penjualanitu kepada syarikat dari China.

- Free Malaysia Today

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget