Siasat menteri terlibat rasuah kuota beras


KUALA LUMPUR 25 NOVEMBER- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat amalan rasuah dalam program subsidi beras hancur ST15%, kata Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung.

Menurutnya, Laporan Ketua Audit Negara kelmarin mendedahkan butiran mengejutkan mengenai salahguna kuasa dalam program berkenaan sejak ia mula dilaksanakan April 2009.

Katanya, laporan itu juga mengakui kewujudan “kuota khas” di mana pemborong beras ST15 dipilih oleh menteri tanpa melalui proses pemilihan.

“Untuk satu jangka masa yang lama, program subsidi beras kerajaan ini telah dibelenggu dengan tuduhan bahawa pemborong beras perlu membayar rasuah kepada pegawai kanan kementerian dan ahli politik untuk dipilih membekalkan beras hancur ST15% di negara ini,” ujarnya pada kenyataan media.

Menurut Gooi, rasuah sebanyak RM359 dibayar bagi setiap tan metrik kepada pegawai kerajaan yang korup, di mana setiap 10,000 tan metrik bersamaan RM42 juta setahun.

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, katanya, sebanyak 128,600 metrik tan beras ST15 diberi kepada pemborong di bawah “kuota khas” senarai Menteri, antara Januari 2012 hingga Februari 2013, dan Julai 2013 hingga April 2014.

Bagaimanapun, disebabkan kekurangan rekod, identiti pemborong yang dilantik di bawah senarai kuota khas Menteri antara bulan Mei hingga Disember 2014 tidak dapat dikenalpasti.

“Penemuan Ketua Audit Negara mengenai kuota khas Menteri adalah bukti penyalahgunaan kuasa serius dan salah-laku di peringkat tertinggi, yang berbau amalan rasuah dan perlu ditangani dengan segera.

“Saya menggesa SPRM untuk menyiasat pendedahan Ketua Audit Negara tentang kuota khas Menteri untuk menentukan sama ada terdapat sebarang unsur-unsur amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan serta-merta,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau turut menggesa Menteri Pertanian, Datuk Seri Shabery Cheek membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan penuh dilakukan.

Program subsidi ini mula dilaksanakan ketika Datuk Seri Noh Omar memegang jawatan Menteri Pertanian dan diteruskan  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada  Mei 2013.

Bagaimanapun, Menteri Pertanian baru, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan program subsidi ini dihentikan pada bulan ini. - Keadilan Daily.

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget