Hilang RM5 bilion jika AP dihapus

KUALA LUMPUR - Kerajaan bakal kehilangan pendapatan lebih RM5 bilion setahun membabitkan cukai import dan cukai eksais, cukai korporat dan bayaran lesen import (AP) sekiranya lesen berkenaan dihapuskan bermula tahun depan.

Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, penghapusan AP juga boleh menjejaskan pendapatan kira-kira 300,000 isi rumah bumiputera yang bekerja dengan syarikat penjual kenderaan import serta yang mempunyai bengkel kenderaan.

Sehubungan itu, beliau berharap pemberian AP dapat diteruskan kerana ia adalah hak bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan selain merupakan antara perniagaan yang berjaya meningkatkan ekonomi kaum itu.

“Sebilangan besar pekerja di syarikat penjual kenderaan import ini adalah bumiputera dan mereka juga banyak terlibat membuka bengkel kenderaan, justeru jika tiada lagi kenderaan import, perniagaan mereka boleh tutup kerana tidak mampu menanggung kos operasi.

“Atas sebab itu Pekema amat berharap dasar pemberian AP sejak 2010 dan tamat pada penghujung Disember depan diteruskan kerana ia adalah hak bumiputera seperti dalam Artikel 153 Perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pekema Ke-34 di sini Sabtu lalu.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan Naib Presidennya, Sharifah Noor Syed Abd. Rahman.

Zainuddin berkata, Pekema turut meminta kerajaan menghapuskan yuran AP sebanyak RM10,000 yang dikenakan sejak tahun 2010 memandangkan lebih 800 AP yang dikeluarkan untuk industri lain tidak pernah dikenakan yuran.

Dalam perkembangan lain katanya, Pekema telah mendapat persetujuan daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Kewangan untuk mendapatkan potongan cukai sehingga 80 peratus terhadap kenderaan import yang gagal dijual melebihi tempoh 72 bulan.

“Kereta yang melebihi 72 bulan tidak ada dalam warta kerajaan maka untuk menghapuskannya kita memang akan rugi besar, justeru bagi kebaikan semua pihak kami meminta diskaun agar kerajaan tetap mendapat hasil manakala kami tidak rugi banyak,” katanya.

- Utusan Online
Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget