Nurul Izzah sedia beri penjelasan kepada jawatankuasa Parlimen


Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini menyatakan kesediaan beliau untuk memberi penjelasan berhubung pertemuan dengan Jacel Kiram baru-baru ini kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

"Saya ada hak yang termaktub dalam Parlimen...Insya-Allah saya akan teruskan dengan memastikan ada sesi penerangan dan penjelasan seperti yang dipinta pada awalnya oleh Datuk Seri Azalina," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menyarankan Nurul Izzah menggunakan platform jawatankuasa itu untuk membela diri berhubung pertemuan beliau dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah pada 2013.

Dalam pada itu, Nurul Izzah berkata beliau akan memberikan keterangan berhubung pertemuannya dengan Jacel kepada polis jam 4 petang esok, dan akan membuat kenyataan mengenai perkara itu dan usul larangan beliau memasuki Sabah selepas itu.
"Esok saya akan pergi ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan berikan komen terus...di situlah saya akan keluarkan kenyataan (tentang usul Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah) bersama peguam saya," kata naib presiden PKR itu.

DUN Sabah hari ini meluluskan usul melarang Nurul Izzah dan seorang lagi Naib Presiden PKR Tian Chua masuk ke negeri itu berikutan pertemuan kontroversi dengan Jacel.

Jacel memuat naik 4 keping gambar pada 9 November lepas dalam akaun Facebook beliau yang memaparkan pertemuannya dengan Nurul Izzah dan ia mendapat reaksi kurang senang pelbagai pihak di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata keputusan DUN Sabah untuk tidak membenarkan Nurul Izzah dan Tian Chua untuk masuk ke negeri itu adalah sangat tepat.

"Jangan marah kerajaan negeri Sabah bila membuat satu keputusan untuk tidak membenarkan mereka masuk ke Sabah kerana apa mereka buat itu betul-betul mengguris (hati) rakyat Sabah," katanya.

Rahman turut menempelak kedua-dua pemimpin PKR itu yang memberi alasan tidak mengenali siapa individu bernama Jacel. – Bernama

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget