Adakah sebab gagal menguasai bahasa Inggeris graduan sukar untuk mendapat pekerjaan?


Bahasa Melayu digunakan sejak abad ke-7 Masihi dan telah menjadi bahasa pengantara pemerintah, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Ianya juga meliputi kepulauan Borneo dan persekitarannya.

Bahasa Melayu juga mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi pada zaman kesultanan Melayu sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19.

Seorang sarjana Belanda Francois Valentijn pernah mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang mudah difahami dan digunakan di merata tempat oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant.

Semasa zaman penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya bahasa penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India.

Terdapat sebahagian daripada kita apabila menyatakan sesuatu dalam bahasa Inggeris merasakan dirinya berpendidikan, yang sangat dihormati dan punya daya tarik. Apabila mereka bercakap dalam bahasa ibunda mereka dianggap sebagai tidak berpendidikan dan kurang daya tarikan.

Ini menyebabkan pandangan orang ramai kepada bahasa Inggeris jauh lebih utama dan dikaitkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kemajuan dan kemodenan. Penggunaan dan mempelajari bahasa ibunda dianggap membawa kepada kemunduran, ketinggalan zaman dan rendah diri. Tidak dinafikan bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa komunikasi peringkat antarabangsa tetapi bahasa ibunda sesuatu kaum bukanlah punca sesebuah negara menjadi mundur.

Kita lihat Perancis jiran United Kingdom menggunakan bahasa Perancis untuk memajukan negara mereka. Hal yang sama berlaku di Jerman, Belanda, Sweden, mereka maju dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Bahasa Inggeris hanya digunakan sebagai bahasa perhubungan diperingkat antarabangsa dan negara mereka tetap maju walaupun mereka tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara mereka.

Perkara yang sama berlaku di Jepun, Korea Selatan dan China. Kekuatan bahasa ibunda mereka menyebabkan bangsa ini menjadi maju dengan tidak menolak kepentingan bahasa Inggeris untuk dipelajari dan juga bahasa lain. Filipina dan India sejak kemerdekaan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama mereka, tetapi tidak pula maju seperti negara lain yang menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Persoalannya sekarang ialah mengapa mesti mengambil bahasa penjajah@Inggeris sebagai bahasa rasmi manakala bahasa Melayu boleh dimartabatkan lebih tinggi atau setaraf dengan bahasa lain di dunia sekiranya kerajaan yang memerintah sekarang menaiktaraf bahasa ibunda masing-masing ke peringkat antarabangsa. Adakah dengan menggunakan bahasa penjajah boleh memberi pekerjaan kepada graduan yang menganggur?
Ia membuktikan isu bahasa Inggeris bukan menjadi persoalan samaada negara boleh maju atau sebaliknya, tetapi ia menyangkut tentang budaya berfikir dan cara mengambil ilmu dari negara maju dan dalam masa sama berpegang teguh dengan prinsip dan kukuh dengan jati diri seseorang itu.

Mempelajari bahasa Al Quran juga penting kerana terdapat banyak ilmu sains yang terdapat dalam Al Quran yang masih belum diterokai. Bahasa Al Quran juga merupakan bahasa yang banyak digunakan di dunia dan ramai para ilmuwan Muslim yang menjadikan ayat Al Quran sebagai dasar, sandaran, dan kerangka berfikir mereka dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dan berhasil memberikan berbagai penemuan penting dalam bidang sains dan teknologi. Bahkan jauh sebelum para ilmuwan barat menemukan penemuan baru, para ilmuwan Muslim sudah lebih dulu menemukannya dalam Al Quran.

Memang tidak dinafikan bahasa Inggeris memudahkan kita berkomunikasi dengan orang asing dan kalau dapat mempelajari semua bahasa dunia memanglah satu kelebihan tetapi jangan lupa bahasa ibunda masing-masing juga perlu dipertahankan.

Kita mengesa pihak kerajaan mengkaji semula dasar pendidikan negara agar pelajaran yang diajar di sekolah sekarang dapat memberi tekanan kepada keperluan semasa. Apabila pelajar keluar dari alam persekolahan mereka boleh berdikari sekiranya mereka gagal dapat pekerjaan di sektor kerajaan atau swasta dengan menggunakan kemahiran mereka pelajari semasa di alam persekolahan.

Menurut laporan sebuah portal, maklum balas sektor industri, masih ramai graduan yang menganggur disebabkan kursus yang mereka ambil di universiti tidak sesuai dengan keperluan dan permintaan pasaran semasa. Pensyarah Sains Kemanusiaan Amien Iskandar berkata, satu daripada faktor graduan sukar mendapat kerja ialah kelulusan yang ada pada mereka tidak sesuai dengan keperluan pasaran lalu menjadikan mereka tidak diperlukan. Ada juga graduan yang fasih berbahasa Inggeris tidak mempunyai pekerjaan disebabkan sektor industri memerlukan tenaga mahir untuk diisi.

Pihak kerajaan harus memberi peluang perniagaan atau skim pekerjaan yang sesuai dengan keperluan semasa kepada pelajar yang mempunyai kemahiran masing-masing dalam sesuatu bidang untuk digunakan sebagai aset untuk membangunkan negara ini.

Bahasa Inggeris hanya bahasa komunikasi yang perlu dipelajari oleh semua pihak bukan bermakna mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris mereka tidak mampu bersaing dalam bidang pekerjaan atau perniagaan. Ianya bergantung kepada sikap dan cara mereka berfikir untuk memajukan diri masing-masing dalam keadaan ekonomi yang semakin gawat dan mencabar sekarang ini.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

-Pas.org.my

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget